Keutamaan sekarang makanan atas meja, bukan penarafan kredit, kata pakar ekonomi

Terkini di My KMU !!!!---->

Seorang pakar ekonomi percaya Malaysia tidak perlu “terlalu bimbang” tentang penarafan kredit berhubung belanjawan besar Putrajaya sebanyak RM322.5 bilion dengan berkata, keutamaan sekarang ialah memastikan adanya makanan di meja rakyat.

Timbul kebimbangan berhubung belanjawan kerajaan yang dibiayai dengan hutang itu, namun bagi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, walaupun kebimbangan itu wajar, ia tidaklah sepenting membantu rakyat yang memerlukan pertolongan sekarang.

Beliau berkata, walaupun wabak Covid-19 memberi kesan ke atas ekonomi, impaknya ke atas Malaysia lebih “lunak” berbanding keadaan di banyak negara maju yang terpaksa membuat lebih banyak pinjaman bagi menangani pandemik itu, sekali gus meningkatkan paras defisit mereka.

“Saya tidak jangka penarafan kredit kita akan terkesan teruk. Jika dibandingkan dengan negara maju, jangkaan defisit kita sebanyak 6% agak sederhana,” katanya kepada FMT.


Barjoyai bagaimanapun berkata, kerajaan perlu mengawasi langkah ekonomi jangka sederhana dan panjang, terutama pelaburan dalam pembangunan modal insan.

Beliau berkata, ini akan memastikan sejumlah besar pekerja kekal relevan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kerajaan terpaksa memberi subsidi bagi membantu mereka meneruskan hidup dan ini tidak mampan,” katanya.

Profesor ekonomi di Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, Malaysia tidak mungkin diturun taraf walaupun negara mungkin ditempatkan dalam kategori pemerhatian atau unjuran negara diturun taraf ke negatif.

Namun katanya, banyak negara, termasuk yang menduduki taraf lebih tinggi daripada Malaysia, juga berdepan kemerosotan ketara dalam defisit fiskal mereka serta peningkatan paras hutang kerajaan.

“Selagi peningkatan perbelanjaan kerajaan membantu dalam pemulihan ekonomi dan dirangka untuk membangunkan semula ekonomi, penurunan taraf negara kemungkinan besar tidak akan berlaku dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan hanya perlu bimbang mengenai penurunan taraf kredit jika ekonomi dan asas kredit tidak meningkat, hatta dengan defisit yang begitu besar.

Bagaimanapun Yeah berkata, langkah belanjawan adalah tepat dari beberapa sudut, iaitu dengan memberi tumpuan kepada perlindungan nyawa dengan menyediakan sumber yang mencukupi untuk mengawal pandemik tersebut.

Ini termasuklah program imunisasi kebangsaan sebaik sahaja vaksin tersedia.

“Keutamaan lain yang menonjol termasuklah perlindungan kehidupan golongan berisiko dan rumah tangga berpendapatan rendah serta usahawan kecil dan sederhana.

“Keutamaan lain termasuk lanjutan program subsidi upah, program penciptaan pekerjaan dan akses kepada pembiayaan bagi naik taraf dan pendigitalan perniagaan,” katanya. FMT

Leave a Reply