Aminuddin akan terus bela Arwah Adib, walau ada pihak ‘u-turn’



Sebaran :

Fikir strategi, cara tegakkan keadilan buat keluarga Allahyarham

BANGI, 10 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya meluahkan kekesalan apabila kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim kini seolah-olah dipandang sepi.

Lebih menyedihkan, apabila Allahyarham Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, hari ini menyatakan kekecewaan beliau sekeluarga terhadap pihak berkuasa kerana masih gagal mencari penjenayah yang menyebabkan kematian anaknya.

“Saya secara peribadi mengenali keluarga Allahyarham, terutamanya ayahnya yang sangat cekal dan merendah diri. Apabila ayahnya mengeluarkan kenyataan sebegini di media, pastinya beliau tidak lagi dapat menahan kekesalan. 



“Setiap kali ada berita daripada keluarga Allahyarham, saya terus terbayang wajah ayahnya, ibunya dan adiknya yang sudah beberapa kali saya saksikan menangis kerana tidak dapat menahan kesedihan atas penganiayaan yang berlaku kepada Allahyarham dan keluarganya itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) – antara pertubuhan yang sering menuntut keadilan buat Adib – turut berasa bersalah apabila kes ini masih belum selesai dan tiada perkembangan lanjut oleh pihak berkuasa.

“Saya rasa bersalah dan sedih kerana masih lagi tidak dapat menegakkan keadilan buat Allahyarham dan keluarganya itu. 



“Kadangkala, saya rasa marah apabila mereka yang dahulunya beria membela keluarga Adib tetapi kini senyap menyepi dan ada pula yang telah ‘U-turn’. 

“Malah, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara pun sudah tidak menyebelahi kita. Kadangkala rasa buntu, tetapi insyaAllah saya, rakan-rakan NGO dan rakan-rakan peguam akan sentiasa memikirkan cara dan strategi untuk menegakkan keadilan buat Allahyarham dan keluarganya ini,” tegasnya.

Keadilan untuk Adib, Perlu Ditegakkan Segera..

Yakin bahawa setiap kesukaran ada jalan keluarnya, Haji Aminuddin berkata, beliau juga pasti jika perjuangan ini dilakukan dengan seikhlasnya, Allah SWT akan memberikan bantuan. 



“Biarlah orang mahu mentertawakan kita kerana masih lagi gagal, tetapi kita yakin bahawa pertolongan Allah akan tiba jua nanti. 

“Kita beriltizam tidak akan berputus asa! Mohon doa anda semua agar kami istiqamah dan dipermudahkan segala urusan membela golongan yang teraniaya sebegini,” katanya.

Hari ini, BH Online melaporkan bapa Adib mengakui masih tidak berpuas hati dan kecewa apabila pihak bertanggungjawab tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk membela kematian anaknya. 



Malangnya, sehingga kini tiada perkembangan lanjut yang dimaklumkan kepada keluarga Adib mengenai kes anaknya.

“Peguam keluarga saya sendiri sudah minta polis segerakan siasatan selanjutnya, sampai sekarang tak nampak apa-apa tangkapan lagi.

“Polis tidak berhubung dengan saya untuk memberitahu sebarang perkembangan terkini,” katanya.



Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Keluarga Adib ada hak tuntut keadilan


Sebaran :


Leave a Reply