[VIDEO] WOW!!! Atmosfera Lif Tertinggi Di Dunia

PENGARUH filem Hollywood terlaris sepanjang zaman, Avatar telah membantu mempopularkan Taman Negara Hutan Zhangjiajie, Hunan, China ke seluruh dunia.

Populariti tersebut diraih apabila panorama sekitar taman berkenaan dikatakan menyerupai Pandora iaitu penempatan puak Na’vi dalam filem arahan James Cameron itu.

Taman Negara Hutan Zhangjiajie terkenal dengan pemandangan semula jadi 3,000 buah bukit batu menegak dilitupi dedaun hijau lebat.



Pengaruh filem yang diterbitkan pada tahun 2009 itu telah menyebabkan pertambahan pelancong dengan mendadak ke taman hutan seluas 4,810 hektar tersebut.

SELAIN diiktiraf lif luar tertinggi di dunia, Lif Bailong turut memegang dua rekod dunia iaitu lif kaca dua tingkat tertinggi dan lif terpantas.- AFP

Seiring dengan itu, permintaan terhadap penggunaan Lif Bailong untuk ke salah satu puncak bukit batu di kawasan tersebut turut mengalami peningkatan mendadak.



Hal ini kerana pemandangan sekitar di Taman Negara Hutan Zhangjiajie menjadi lebih cantik dan luas sekiranya dinikmati dari kawasan tinggi.

PELAWAT disajikan dengan pemandangan menakjubkan ketika menaiki lif berkenaan.- AFP

Tambahan pula, bahagian atas Lif Bailong telah dibina tempat khas untuk meninjau selain kedai-kedai menjual makanan dan cenderamata.

Menariknya, lif yang terletak di Wulingyuan Scenic Area itu berketinggian 326 meter dan telah diiktiraf oleh Guinness World Records (GWR) sebagai lif luar tertinggi di dunia pada tahun 2015.

Salah seorang pengunjung, Qiao Ke, 45, berkata, dia sangat teruja dapat menggunakan Lif Bailong untuk ke puncak bukit bagi menikmati keindahan taman negara tersebut.



“Salah satu faktor kami sekeluarga datang ke sini adalah disebabkan filem Avatar. Filem itu sangat memberi kesan kepada kami semua. Pemandangan di sini sungguh menakjubkan,” ujarnya.

Menurut akhbar China People Daily Oniline, kos pembinaan lif yang turut dikenali sebagai Hundred Dragons itu dianggarkan menelan kos bernilai 120 juta Yuan (RM74.6 juta).

Bailong dilengkapi dengan tiga buah lif kaca dengan setiap satu daripadanya mampu membawa 50 orang atau bersamaan berat 4,900 kilogram pada satu-satu masa. Menerusi penggunaan Lif Bailong, para pelawat boleh sampai ke puncak bukit batu dengan pantas iaitu sekitar 88 saat.



Sewaktu di dalam lif, para pelawat bukan sahaja dihidangkan dengan keindahan deretan bukit batu menegak, malah pemandangan jambatan gantung semula jadi pertama dunia di Yuanjiajie dan perkampungan Wulong.

“Lif ini sangat pantas. Saya sangat teruja dan gembira dapat datang ke sini buat pertama kali,” ujar salah seorang pelawat, Jin Shihao selepas menuruni lif berkenaan dengan tiket bernilai 129 Yuan (RM80).

Lif Bailong direka sepenuhnya oleh syarikat pembinaan lif terkemuka dari Jerman, German Rangger International Elevator. Uniknya, 154 meter daripada keseluruhan lif dibangunkan pada dinding bukit batu, manakala selebihnya bergantung sepenuhnya kepada besi dan komponen lain.

Dianggarkan sekitar 8,000 pelawat menggunakan Lif Bailong setiap hari. Bagaimanapun, angka tersebut jauh lebih rendah berbanding sebelum penularan pandemik Covid-19 iaitu 14,000 orang.



PELAWAT hanya perlu membayar 129 Yuan (RM80) untuk menikmati keterujaan menaiki Lif Bailong.- AFP

Menurut laman web rasmi Lif Bailong, kerja-kerja pembinaan lif berkenaan bermula pada tahun 1999 dan siap sepenuhnya tiga tahun kemudian.

Bagaimanapun, perkhidmatan Lif Bailong terpaksa dihentikan buat sementara waktu disebabkan masalah keselamatan sejurus pembukaannya. Ia berikutan kebimbangan pihak pengurusan lif disebabkan ia dibina di kawasan aktif gempa bumi.

“Lif ini dibuka semula pada tahun 2003 selepas pemasangan alat pengesan gempa dan kembali menjadi tumpuan para pelancong yang ingin mencabar adrenalin menerusi salah satu pengangkutan paling menakutkan di dunia,” ujar laman web berkenaan.

Disebabkan lif tersebut terlalu mencabar, pihak pengurusan terpaksa melarang mereka yang gayat atau mempunyai penyakit lemah jantung daripada menaikinya.



Hal ini kerana, sewaktu menaiki lif, jantung penumpang akan berdegup lebih kencang daripada biasa akibat faktor ketinggian dan kelajuan.

Sebelum proses pembinaan, berlaku perdebatan hebat dalam kalangan pakar disebabkan lif berkenaan dibangunkan di Tapak Warisan Dunia Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan taman negara dilindungi.

Beberapa pakar di China berpendapat, penggunaan lif itu bakal meningkatkan jumlah pelancong sekali gus memberi tekanan kepada alam sekitar.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut telah disangkal oleh pihak pemaju yang menganggap Bailong sebagai penyelesaian kepada kerosakan alam sekitar di sepanjang laluan ke puncak.

“Pengunjung boleh datang melawat ke taman ini untuk sehari kerana masa perjalanan semakin pantas. Sebelum ini, pengunjung terpaksa berjalan selama tiga jam di cerun berbahaya untuk sampai ke atas puncak.

“Kini, pengunjung hanya perlu beratur selama satu setengah minit dan mereka tidak lagi bermalam di hotel atau rumah tumpangan,” ujar kenyataan dalam laman web Lif Bailong.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Pengurusan Lif Bailong, Liu Jie menjelaskan, struktur geologi di kawasan tersebut sangat sesuai untuk pembinaan lif sebagai medium pengangkutan.

Katanya, sebelum kewujudan lif tersebut, puncak berkenaan hanya boleh diakses menggunakan kereta kabel tergantung dan berjalan kaki.

“Kawasan ini sangat sesuai untuk pembinaan lif. Kewujudan pengangkutan hebat ini membolehkan lebih ramai pengunjung dibawa naik ke atas, sekali gus menpercepatkan masa menunggu,” tegas Liu Jie.

Lif Bailong bukan sahaja diiktiraf sebagai lif luaran tertinggi, malah memegang dua rekod dunia iaitu lif kaca dua tingkat tertinggi dan lif terpantas.

Sewaktu acara penyampaian sijil GWR, Presiden GWR, Rowan Simons memuji kecanggihannya yang dianggap sebagai kenderaan pelancongan luar biasa.

“Lif ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah menyajikan pemandangan indah. Ia juga memaksimumkan perlindungan persekitaran dan keseimbangan ekologi,” katanya.

VIDEO DIBAWAH:

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ukK8aDGyqoY[/embedyt]

Sumber: CNN

Kotornya Kawasan Miskin Bandar Di Pulau Pinang , Indah Khabar Dari Rupa…Di Mana MBPP ?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker