Kerajaan harus prihatin, jangan ada syarat rumit untuk keluarkan simpanan KWSP, kata Najib · MYKMU.NET

Kerajaan harus prihatin, jangan ada syarat rumit untuk keluarkan simpanan KWSP, kata Najib

Share

Najib Razak terus menggesa kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP tanpa syarat terlalu ketat untuk mengharungi tekanan hidup akibat wabak Covid-19.

Beliau tidak menolak kemungkinan segelintir pencarum menipu status kewangan mereka bagi mengeluarkan caruman namun menegaskan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak cadangan berkenaan.

“Lebih elok jika ada segelintir yang tersalah di beri berbanding tersalah nafi bantuan kepada seorang yang amat memerlukan bantuan,” kata Najib di Facebook.

“Sebab itu, syarat pengeluaran tidak perlu terlalu ketat atau rumit jika skim pengeluaran ini diluluskan kerajaan Perikatan Nasional,” tambah beliau yang juga bekas menteri kewangan.

Kerajaan bertanggungjawab memastikan caruman KWSP rakyat tidak terjejas dalam jangka panjang.

“Sebuah kerajaan yang prihatin perlu lebih fokus kepada mencari jalan untuk memulihkan dan menambah simpanan usia tua golongan terdesak selepas krisis Covid berakhir, bukan untuk menafikan hak pencarum untuk mengakses wang simpanan mereka pada masa mereka paling terdesak,” kata beliau.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata sukar untuk kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan akaun 1 KWSP kerana ia untuk simpanan di usia tua mereka.

Isu pengeluaran caruman KWSP semakin diperkatakan menjelang pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Jumaat ini.

Ketika ini, semua ahli KWSP berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 kepada kadar maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan.

Najib berkata banyak negara sudah pun membenarkan pencarum menggunakan simpanan tabung usia tua bagi membantu mereka mengatasi kesesakan kewangan kerana ekonomi jatuh merudum.

“Kebanyakan negara-negara tersebut juga meletakkan syarat bahawa pencarum perlu mengemukakan bukti mereka hilang sumber pendapatan atau keadaan kewangan mereka sudah kritikal.

“Jika alasan diberi pencarum ialah untuk bayar deposit bagi X50 sebab kereta itu lawa atau nak beli iPhone 12, mereka akan terus bakulsampahkan permohonan,” kata Najib. FMT

COVID-19: Pengeluaran KWSP Akaun 1, Najib jawab semula kerajaan

Leave a Reply