Perunding motivasi dipenjara lakukan kelucahan melampau pada remaja lelaki

Seorang perunding motivasi dijatuhi hukuman penjara 3 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki 4 tahun lepas.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zahiruddin Mohd Khairulazhar, 27, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama prosiding membela dirinya.

Azahra memerintah tertuduh menjalani hukuman itu di Penjara Kajang bermula hari ini.

Dia didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki berumur 15 tahun di lorong perumahan berhampiran Tasik Kecil Medan Idaman Taman Ibu Kota Wangsa Maju, pada 5.30 petang, 17 Sept 2016 mengikut Seksyen 377 D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun.



Mahkamah Majistret sebelum ini melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu, bagaimanapun Mahkamah Tinggi memerintahkan Zahiruddin membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret itu.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira umur mangsa ketika kejadian adalah 15 tahun dan tindakan tertuduh menyebabkan mangsa tertekan sehingga ingin membunuh diri.

“Mangsa juga dalam keadaan takut apabila diperas ugut tertuduh,” katanya.

Peguam Azlan Abdul Razak dalam rayuan memohon hukuman penjara minimum kerana anak guamnya masih muda dan menyesal dengan tindakannya selain masih terlibat meneruskan aktiviti motivasi.



Berdasarkan fakta kes, bapa kepada remaja itu yang merupakan pengadu dalam kes berkenaan memberitahu anaknya mengenali tertuduh ketika dia hadir ke pejabatnya pada Jun 2016 untuk berbincang tentang kerja seni mempertahankan diri.

Tertuduh ingin berkenalan dengan anak pengadu lalu meminta nombor telefon dan menyatakan mahu mengambilnya sebagai adik angkat.

Selepas itu, tertuduh terus berhubung dengan anaknya dan beberapa kali mahu berjumpa bersama, namun ditolak oleh anak pengadu, bagaimanapun akhirnya mangsa keluar bersama dengan tertuduh lalu tertuduh mengajak mangsa melakukan perbuatan kelucahan melampau dalam sebuah kereta.

Susulan kejadian itu, mangsa memberitahu ibu bapanya sebelum membuat laporan polis. Bernama



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker