Pelan Kg Baru sukar diteruskan, tak semua setuju tawaran kerajaan

Pelan konsep pembangunan Kampung Baru 2019 membabitkan tawaran pembelian tanah RM1,000 sekaki persegi amat sukar diteruskan kerana tidak semua pemilik tanah bersetuju.

Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dalam kenyataan hari ini berkata, ketetapan itu dibuat Kementerian Wilayah Persekutuan susulan hanya 61% pemilik tanah di Kampung Baru bersetuju dengan tawaran dikemukakan pada zaman pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pelan konsep pembangunan semula Kampung Baru turut membabitkan kos anggaran pembelian tanah sangat tinggi sebanyak RM7.4 bilion dan kos lain sehingga mencecah hampir RM10 bilion.

“Kementerian Wilayah Persekutuan meneliti dan membuat ketetapan pelaksanaan pembangunan semula Kampung Baru secara komprehensif mengikut Pelan Konsep Pembangunan Kampung Baru Tahun 2019 serta tawaran pembelian tanah sebanyak RM1,000 sekaki persegi didapati amat sukar diteruskan,” kata agensi pelaksana itu.

Katanya, tawaran RM1,000 kaki persegi kepada pemilik tanah adalah dalam bentuk RM850 sekaki persegi tunai dan lebihan RM150 sekaki persegi dalam bentuk saham di syarikat bertujuan khas (SPV).

“Ia juga kerana tidak mendapat persetujuan 100% pemilik tanah (hanya 61% persetujuan) dan melibatkan kos anggaran pembelian tanah sangat tinggi iaitu sebanyak RM7.4 bilion dan kos lain sehingga mencecah hampir RM10 bilion,” katanya.

Pada 4 April lalu Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, pembelian keseluruhan tanah di Kampung Baru akan menelan hampir RM7 bilion dan pembangunan di kawasan berkenaan adalah 1 hal “tidak mudah” baik dari segi perundangan mahupun perancangan fizikalnya.

“Setakat ini, tak ada sebarang peruntukan, tak ada dana yang sangat besar yang diperlukan untuk membeli (tanah), kalau pun semua setuju (menjual tanah).

“Jadi, siapa sebenarnya yang akan memajukan Kampung Baru?,” kata Annuar.

Penjelasan Annuar itu kemudian mengundang kekesalan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad yang mendakwa ia bukti kerajaan persekutuan mengabaikan pembangunan Kampung Baru yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Khalid kecewa dengan penjelasan Annuar yang kerajaan persekutuan tidak mempunyai dana untuk pelan pembangunan Kampung Baru.

Khalid berkata, kerajaan PH sebelum ini sudah menyelesaikan lebih separuh kerja pembangunan dan lebih 60% pemilik bersetuju menjual tanah mereka.

Khalid juga merupakan individu bertanggungjawab menaikkan tawaran pembelian tanah Kampung Baru daripada RM850 sekaki persegi kepada RM1,000 sekaki persegi selepas mendapat kritikan pelbagai pihak.

Berikutan itu, PKB menjelaskan kementerian kini merangka pendekatan pembangunan baru untuk tempoh 20 tahun akan datang sebagaimana ditetapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040.

Katanya, hala tuju baru pembangunan Kampung Baru adalah lebih realistik, boleh dilaksanakan melalui pendekatan pembangunan lebih berfokus, mengikut kawasan keutamaan dan mengambil kira kerumitan sesuatu kawasan bagi memenuhi keperluan pembangunan.

“Kementerian secara serius akan melaksanakan dengan segera perkara seperti menaik taraf jalan utama di kawasan Kampung Baru dan melaksanakan pembangunan secara berfasa mengikut keutamaan blok pembangunan dan lot tanah dipersetujui pemilik tanah.

“Pembangunan sama ada penglibatan secara langsung oleh kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau secara usaha sama antara pemilik tanah dengan pemaju swasta atau dimajukan sendiri oleh pemilik tanah secara organik dengan insentif tertentu.

“Selain berperanan sebagai fasilitator bagi melancarkan pelaksanaan pembangunan, fungsi PKB juga akan dipertingkatkan pada masa depan supaya mampu berperanan sebagai pemaju projek pembangunan hartanah di Kampung Baru,” katanya.

PKB juga memberi jaminan suara dan harapan pemilik tanah Kampung Baru supaya kawasan itu dibangunkan sebagai pusat komersial dan penempatan Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur akan terus diberikan perhatian oleh kerajaan.

Kampung Baru yang wujud lebih 100 tahun di tengah Kuala Lumpur diduduki 5,359 pemilik tanah. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker