MCA RAKAN, BUKAN GUNTING DALAM LIPATAN

oleh Lau Chin Kok

Saya sedar sejak kebelakangan ini pelbagai tohmahan, fitnah dan sangkaan buruk telah dilemparkan terhadap parti MCA. Hampir keseluruhan tohmahan tersebut lebih berbaur kepada perkauman. Ada yang menuduh MCA sebagai “gunting dalam lipatan”, ada juga yang berkata “MCA lebih DAP daripada DAP dan pelbagai lagi kata-kata yang tidak enak didengar.

Anehnya, kesemua kritikan ini dibuat berdasarkan apa yang dikatakan oleh individu tertentu ataupun pertubuhan yang sememangnya anti-MCA selama ini. Mereka inilah yang menuduh MCA sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, walhal MCA telah berkali-kali menafikannya malah juga menyatakan bahawa kesemua pendirian MCA dibuat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Memang tidak dinafikan terdapat perbezaan pendirian di antara MCA dengan parti-parti Melayu di dalam BN dan Muafakat Nasional, terutamanya UMNO. Tetapi mana ada adik-beradik yang tidak pernah berbeza pendapat sesama sendiri? Namuhn apa pun yang berlaku, sejauh mana pun perbezaan dan perselisihan faham akhirnya semua dapat diselesaikan melalui perundingan dan permuafakatan, dengan mengamalkan prinsip kesederhanaan dan saling hormat-menghormati.



Inilah asas kepada penubuhan keluarga Barisan Nasional, dan inilah prinsip yang dipegang MCA sehingga hari ini.

Seperti kata pepatah “Tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, jika ingin mengenali MCA dengan lebih dekat, tanyalah rakan-rakan di dalam Barisan Nasional, di dalam Muafakat Nasional, dan juga di Perikatan Nasional.

Suka saya mengutip mutiara kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan yang lebih mesra dikenali dengan panggilan “Tok Mat Hassan”. Beliau menyebut dalam loghat Negeri Sembilan, “Nak tanya, nak tahu panjang dan berlikunya sungai tanya pada Seluang, nak tahu dalamnya lubok tanyalah memerang, nak tahu lebarnya padang tanyalah belalang, nak tahu tebalnya hutan tanyalah Pak Belang, nak tahu eloknya orang tanya pada kawan,nak tahu tak eloknya orang tanyalah lawan.”

Jadi jika nak kenal MCA tanyalah pada kawan-kawan seperti UMNO dan MIC, yang selama ini telah bersama MCA sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi.



Tanyalah Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) yang pernah bekerjasama dengan MCA di bawah payung BN sebelum PRU14.

Tanyalah BN. Tanyalah Parti Cinta Malaysia. Tanyalah Parti Sosialis Malaysia.

Tanyalah persatuan-persatuan bukan kerajaan, badan-badan kemanusiaan dan kebajikan, masyarakat sivik yang pernah bekerjasama dengan MCA. Mereka semua ini lebih tahu dengan MCA.

Akan tetapi, tolonglah jangan tanya musuh-musuh MCA yang ada agenda tersendiri. Janganlah tanya kumpulan-kumpulan yang tidak pernah bekerjasama dengan MCA, dan mereka yang enggan bekerja dengan MCA. Ini kerana sudah tentu jawapan yang diberi mereka dibelakangi niat dan agenda tersendiri.



Saya juga amat terharu kepada rakan-rakan sejati MCA, yang sudi bersama kami tak kira dalam masa susah atau senang. Kepada mereka ini, saya mengucapkan terima kasih.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker