Mayat warga India jatuh kapal ditemui di Daro, Sarawak
SIBU: Mayat pekerja kapal warganegara India yang terjatuh dari kapal pada Isnin ditemui terapung berhampiran jeti Kampung Serban Batang Lassa, Daro pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superitenden Collin Babat berkata, mayat mangsa, yang dikenali sebagai Pandey Saurev, 21, ditemui oleh penduduk kampung pada jam 11 pagi.
Katanya, pengadu, Sigat Agok, 57, sedang duduk bersantai dengan seorang rakan di sebuah jeti di Kampung Serban, Batang Lassa apabila mereka ternampak mayat terapung hanyut di dalam air dari arah hulu ke hilir sungai.
“Dia kemudian mengikat kaki kiri mayat menggunakan tali ke jeti kerana bimbang ia akan hanyut lebih jauh,” kata Collin.
Katanya, mayat tersebut kemudian diangkat oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Daro yang turut dibantu orang awam, sebelum dibawa ke Hospital Sibu.
Rakan sekerja mangsa mengesahkan identiti mayat tersebut berdasarkan pakaian dan gelang di tangannya, katanya lagi.
Tambahnya, tiada kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa yang disahkan meninggal dunia dipercayai mati lemas oleh pegawai perubatan Hospital Sibu.
“Kes diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut,” tambah beliau. UB