Singapura kaji semula kriteria discaj bagi pesakit COVID-19

Share

SINGAPURA, 28 Mei  — Singapura telah mengkaji semula kriteria discaj bagi pesakit COVID-19 yang bakal menyaksikan mereka akan dinilai sebagai sihat dari segi klinikal menjelang Hari ke-21 jangkitan bermula tanpa perlu menjalani ujian lanjut reaksi rantai polimerase (PCR).

“Kajian semula ini akan dilaksanakan dengan segera,” demikian menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian dalam satu sidang akhbar maya hari ini.

Pasukan itu berkata ia telah mengkaji dan menilai bukti saintifik dan klinikal di peringkat antarabangsa serta tempatan yang menunjukkan bahawa virus viabel tidak dikesan dalam pesakit COVID-19 selepas minggu kedua jangkitan meskipun terdapat pengesanan asid ribonukleat (RNA) melalui ujian PCR.

“Ini bermakna pesakit COVID-19 tidak mungkin dijangkiti selepas Hari ke-14 jangkitan dan tidak boleh berjangkit menjelang Hari ke-21 jangkitan,” katanya.

Menurut pasukan itu, bukti saintifik secara kukuh menyokong discaj berasaskan masa.

Terdapat konsensus dalam kalangan pakar penyakit berjangkit berdasarkan data klinikal yang dibentangkan di peringkat tempatan dan antarabangsa bahawa risiko jangkitan sekunder COVID-19 tidak mungkin berlaku menjelang Hari ke-14 selepas bermulanya jangkitan.

Dalam amalan secara klinikal, pasukan itu berkata permulaan jangkitan didefinisikan sebagai tarikh ketika gejala dilaporkan oleh pesakit bergejala atau tarikh ujian PCR positif pertama atau tujuh hari sebelum ujian serologi positif pertama bagi pesakit tanpa gejala.

Kebolehjangkitan pesakit COVID-19 biasanya berada pada tahap paling tinggi sehari atau dua hari sebelum permulaan gejala dan kebolehjangkitan menurun selepas itu, katanya.

Selepas Hari ke-14, meskipun ujian PCR mungkin mengesan serpihan kecil RNA virus COVID-19, kesemua serpihan RNA ini tidak lagi boleh menjangkiti orang lain dan virus itu tidak lagi viabel.

“Ini bermakna pesakit tidak lagi boleh dijangkiti selepas tempoh ini,” katanya.

Pasukan itu berkata majoriti pesakit COVID-19 di Singapura mempunyai gejala ringan atau tanpa gejala dan majoriti dimasukkan ke pusat penjagaan komuniti di mana kebanyakan pesakit pulih dengan intervensi minimum.

Bagaimanapun, pasukan itu berkata kriteria discaj yang dikaji semula ini tidak akan terpakai ke atas pesakit yang mempunyai sejarah imunokompromi.

Pesakit sedemikian masih memerlukan dua ujian PCR negatif sebelum didiscaj kerana mereka masih terus menghasilkan virus viabel untuk tempoh yang panjang memandangkan imuniti mereka telah terganggu, katanya.

Pasukan itu berkata ia akan terus mengkaji semula bukti terkini bersama pakar perubatan semasa situasi berubah dan melakukan penyesuaian berasaskan bukti kepada pelan perubatan bagi pesakit COVID-19 Singapura bagi memastikan kesejahteraan semua pesakit.

— BERNAMA

(Visited 29 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!