Tesco menawarkan 600 peluang pekerjaan di 60 cawangannya

Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd menawarkan 600 peluang pekerjaan di 60 cawangannya di seluruh negara berikutan peningkatan mendadak permintaan produk makanan dan keperluan rumah akibat pandemik Covid-19, selain umat Islam yang akan menyambut Ramadan dan Aidilfitiri tidak lama lagi.

Rangkaian pasar raya besar yang berpangkalan di United Kingdom itu berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan selain menampung peningkatan permintaan mendadak Tesco Online sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Rakyat Malaysia berusia 18 hingga 60 tahun dengan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon. Bagi membuka peluang kepada semua yang memerlukan, Tesco juga mengalu-alukan mereka yang kurang upaya untuk memohon.

“Kekosongan yang ada termasuk rakan sekerja cawangan, juruwang, picker dan penghantar untuk Tesco Online. Tiada pengalaman terdahulu diperlukan untuk jawatan sepenuh masa, sementara dan separuh masa,” kata Ketua Sumber Manusia Tesco, Alvin Low dalam satu kenyataan, hari ini.



Low berkata syarikat itu melancarkan kempen pengisian peluang pekerjaan kira-kira 2 minggu lalu, dan berharap lebih ramai akan memohon bagi mengisi kekosongan jawatan. Tesco juga menyelaraskan sistem pengambilan pekerja dengan melakukan temuduga melalui telefon agar calon tidak melanggar PKP.

Katanya, calon yang berminat boleh menghantar e-mel kepada [email protected], hubungi talian perkhidmatan pelanggan di 1300-13-1313 atau mereka boleh pergi ke mana-mana cawangan Tesco terdekat untuk mengisi borang permohonan jika tidak mempunyai akses e-mel atau telefon.

Tesco pada Disember lalu berkata ia sedang menjalankan kajian semula perniagaannya di Thailand dan Malaysia selepas selepas mendapat minat untuk pengambilalihan.

Penjualan operasi Asia itu akan membolehkan rantaian pasar raya mendapatkan penyerapan tunai untuk meneruskan penyusunan semula perniagaan di UK, yang berdepan dengan kesukaran termasuk pembuangan pekerja.



Di Malaysia, Tesco mempunyai lebih 70 rangkaian dengan konglomerat Sime Darby Bhd memiliki 30% kepentingan dalam Tesco Malaysia.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker