Satu lawan satu, Mukhriz cabar Muhyiddin untuk presiden Bersatu

Share

Pertandingan merebut kerusi presiden Bersatu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Muhyiddin Yassin dan pencabarnya Mukhriz Mahathir.

Ini adalah mengikut senarai calon-calon yang layak untuk pemilihan Bersatu.

Nama Mohd Faiz Azlee Sham, yang sepatutnya bertanding sama tidak berada dalam senarai itu ketika pencalonan ditutup.

Pertandingan merebut kerusi timbalan presiden Bersatu juga menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas setiausaha agung Marzuki Yahaya (foto, bawah) dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Nama Anas Akashah Nazri yang pada mulanya akan bertanding juga tidak disenaraikan sebagai calon.

Tidak pasti kenapa kedua-dua nama Mohd Faiz dan Anas Akashah digugurkan dari senarai calon.

Sumber parti berkata ada kemungkinan ini disebabkan oleh isu kelayakan. Ketika berita ini ditulis, Pengarah Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar (foto, bawah) tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasannya.

Pemilihan kepimpinan parti akan diadakan pada separuh kedua tahun ini. Tarikhnya belum ditentukan.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sudah pun mengekalkan kedudukannya tanpa sebarang cabaran.

Sementara itu, 164 individu akan bertanding untuk mengisi 20 jawatan majlis tertinggi parti.

Antara mereka adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, bekas menteri kebudayaan, warisan dan kesenian Rais Yatim, bekas Ahli Parlimen Beaufort Lajim Ukin, dan dua bekas menteri besar Johor Sahruddin Jamal dan Osman Sapian.

Sementara itu, sayap pemuda Bersatu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang melibatkan penyandangnya, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang akan dicabar oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mohd Muzammil Ismail.

Kedua-dua, Wan Ahmad Fayhsal dan Muzammil adalah anggota exco Armada.

Sementara itu, Ketua Srikandi Bersatu Rina Harun, berdepan tiga pencabar – Azlina Mehtab Mohd Ishaq, Izza Ismail, dan Zuhuraina Makmur.

Mkini

Leave a Reply