#PrkTgPiai : 29 NGO bantu BN kempen PRK Tanjung Piai

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad

Sebanyak 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terlibat secara langsung bagi membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 Oktober ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pihaknya mengalu-alukan kesediaan mereka untuk turun padang membantu calon BN pada PRK tersebut.

Katanya, pada permulaan semua NGO terbabit akan terlibat secara langsung bersama-sama jentera pilihan raya BN bagi menentukan kemenangan calon pembangkang untuk menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai.

“Suara mereka (NGO) yang ramai akan menjadi satu kekuatan untuk sama-sama menyatakan sokongan serta menzahirkan harapan agar pengundi membuat pilihan yang tepat ketika itu.



“UMNO Johor menyambut baik usaha yang dilakukan oleh NGO-NGO itu yang turut sama menjadi sebahagian daripada jentera kempen BN dengan juga sama membuka bilik operasi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Maluapa Bossku NGO Muafakat Nasional Daerah Pontian di Dewan UMNO Pontian, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi NGO Muafakat Nasional Daerah Pontian, Datuk Nasir Safar, Presiden Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abd. Hamid dan Setiausaha NGO Muafakat Nasional Daerah Pontian, Zaini Saat.

Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berharap PRK Tanjung Piai akan menjadi medan terbaik kepada semua pihak untuk menebus kembali kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).



“Kami juga bersedia untuk menerima kehadiran lain-lain NGO ke Tanjung Piai bagi membantu jentera BN seterusnya menjelaskan kepada pengundi di kawasan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi NGO Muafakat Nasional Daerah Pontian, Nasir Safar berkata, pihaknya akan membuka bilik operasi di dua lokasi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup dan Pekan Nanas.

Katanya, kedua-dua bilik operasi tersebut akan menjadi medan atau tempat bagi ceramah-ceramah kempen kelak yang mampu memberikan sokongan kepada calon yang akan bertanding kelak.

“Mereka yang tiada tugas di Pusat Daerah Mengundi (PDM), kami mengalu-alukan mereka hadir ke bilik operasi kami untuk sama-sama menjayakan pelbagai aktiviti yang akan disusun nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



 

Larang NGO edar makanan kerana bimbang ancaman kesihatan, kata Putrajaya



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker