Dr Zakir Naik dilarang berceramah di seluruh negara

Share


Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang pendakwah terkenal Dr Zakir Naik daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporatnya, Datuk Asmawati Ahmad yang menyatakan ia dilakukan demi keselamatan negara.

“Arahan itu telah dikeluarkan kepada kesemua kontinjen polis di seluruh negara dan dilakukan demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, tujuh negeri telah melarang ceramah oleh pendakwah tersebut, antaranya Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Ahad lalu, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penceramah itu telah melampaui batas apabila menyentuh mengenai kaum Cina dan India di dalam dua ceramahnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada pendakwah itu juga sedang dalam pemerhatian.

Zakir kini sedang disiasat polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Semalam, penceramah itu selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selepas hampir 10 jam di Bukit Aman.

Jumaat lalu, Zakir memberi keterangan kali pertama kira-kira lima jam di Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Awani



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *