Yew Yin mohon maaf akibat terdesak

Share


SHAH ALAM – Permohonan maaf daripada ahli perniagaan, Koon Yew Yin dibuat kerana terdesak selepas menerima kritikan pelbagai pihak.

Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim berkata, permohonan maaf itu bagaimanapun tidak memadai berikutan kenyataan individu itu disifatkan keterlaluan.

“Terlajak perahu boleh diundur. Permohonan maaf itu hanya dibuat kerana terdesak selepas mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, namun ia tidak memadai kerana kenyataannya keterlaluan serta mengguris hati.

“Sedangkan ribuan anggota kita terkorban dan ada yang kudung kaki, tangan malah buta demi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Yew Yin yang meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh serta menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Bagaimanapun, selepas mendapat kecaman netizen, Yew Yin menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berkhidmat serta sudah bersara.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata, tindakan undang-undang harus dikenakan terhadap Yew Yin kerana mengeluarkan kenyataan menghina anggota tentera.

“Bagi saya, beliau memang tidak tahu langsung tentang kehidupan anggota tentera. Jadi tidak wajar untuknya memberi kenyataan sedemikian.

“Seperti polemik sebelumnya, individu yang mengeluarkan kenyataan keterlaluan, terlepas dengan sekadar meminta maaf. Ini bukan kali pertama pendekatan ‘mohon maaf’ dan isu pun selesai.

“Jadi tindakan undang-undang perlu diambil supaya ia menjadi pengajaran kepada semua pihak tanpa memikirkan soal agama, bangsa ataupun kedudukan agar perkara sama tidak berulang,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, Perhebat sentiasa bekerjasama dengan industri bagi membolehkan anggotanya dapat mengikuti kursus kemahiran serta latihan sejurus tamat perkhidmatan dalam ATM untuk memastikan golongan itu dapat meneruskan kelangsungan hidup selepas tamat perkhidmatan.

“Setiap kursus yang ditawarkan itu mempunyai pengiktirafan daripada pihak industri, di samping menepati kehendak pasaran semasa.

“Lebih 90 peratus daripada mereka yang menyertai kursus ini telah berjaya dan mampu mengecapi kehidupan lebih baik hasil daripada latihan yang mereka sertai sebelum mereka kembangkan sendiri perniagaan tersebut, malah mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada pihak lain termasuk anak-anak muda.

“Mereka ini kita boleh katakan amat berjaya dalam bidang keusahawanan, malah ada menjadi tauke besar, ejen pelancongan, pemilik hotel dan sebagainya,” katanya.

SINAR ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *