Apa khabar Felda? Takkan tiba-tiba sepi

Share


ISNIN lalu, kerajaan mengesahkan tiga entiti menolak tiga resolusi berhubung pembayaran yuran serta manfaat pengarah FGV Holdings Bhd. (FGV) dibuat berikutan prestasi syarikat itu yang mengalami kerugian RM1.08 juta pada tahun lepas.

Pada sidang Dewan Negara di Parlimen, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md Jidin berkata, ahli Lembaga Pengarah Felda telah membuat penelitian sewajarnya ke atas resolusi yang dibentangkan dan bersetuju menolak kesemua resolusi membabitkan pembayaran yuran dan manfaat kepada ahli lembaga syarikat itu.

“Lembaga Pengarah Felda juga berpandangan bahawa yuran dan manfaat pengerusinya adalah antara yang tertinggi berbanding syarikat perladangan lain yang tersenarai.

“Melangkah ke hadapan Felda dan FGV akan terus mengadakan perbincangan dan libat urus untuk menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat, kerajaan yakin ia dapat diselesaikan dengan baik dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Pada 25 Jun lepas, pemegang saham utama FGV iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan 33.7 peratus; Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd. (KPF) (5.0 peratus), dan LTAT (1.25 peratus), telah menolak tiga resolusi berkaitan bayaran yuran pengarah pada mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan itu.

Resolusi itu bertujuan mendapatkan kelulusan berhubung pembayaran yuran pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018, bayaran yuran pengarah bagi tarikh 26 Jun 2019 sehingga AGM seterusnya dan bayaran manfaat yang boleh dibuat bagi tempoh 26 Jun 2019 sehingga AGM berikutnya.

Kerja Tanpa Gaji

Dan sehingga kini, tiada keputusan muktamad dicapai walaupun setelah lebih sebulan Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi Felda.

Perkara yang menjadi kea­nehan besar ialah keputu­san menolak resolusi bayaran yuran itu dicapai pada masa sama resolusi melantik semula ahli Lembaga Pengarah FGV diluluskan.

Secara tidak langsung sekarang, mereka diminta bekerja tetapi ganjaran tahun lepas, tidak akan dibayar.

Menurut satu laporan akhbar perniagaan berbahasa Inggeris, FGV menyatakan ‘secara kolektif dan segera diputuskan bahawa perkara paling bertanggungjawab perlu dibuat ialah, demi FGV dan para pemegang sahamnya, ialah bagi Lembaga Pengarah terus memberi khidmat kepada FGV dan memacu program transformasi yang dilaksanakan tahun lalu’.

Jadi ini mencetuskan persoalan; haruskah mereka bekerja tanpa gaji? Dan mengapa mereka tidak meletak jawatan sahaja?

Dimensi politik

Tidak perlu meminta pandangan pakar, sesiapa yang mengikuti berita ini akan pantas membuat rumusan bahawa isu ini melangkaui soal wang. Ada pihak kata ia berkaitan politik.

Ini kerana jika zaman pemerintahan Barisan Nasional, isu-isu sebegini walaupun sektor korporat dilepas bebas membuat keputusan akan segera dicampur tangan oleh kerajaan sama ada dalam isu bayar gaji atau menukar sama sekali ahli lembaga pengarah.

Bukannya kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh melakukan perkara serupa kerana soal integriti atau sebagainya. Ia dilihat lebih kepada soal berlaga kepala. Selama ini, hal ehwal Felda dan FGV adalah dibawah kawal selia Kementerian Kewangan. Hari ini, kedua-duanya dijaga Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Mungkin kementerian baharu ini agak terbantut gerak tindak kerana khuatir reaksi Kementerian Kewangan. Bayangkan, menteri yang jaga kementerian baharu ini jika benar-benar fokus kepada menguruskan kementerian dan bukan hal kepartian, apa pun reaksi Kementerian Kewangan tidak perlu dihiraukan. Beranikah?

Terma LLA
Menurut sumber, ahli-ahli Lembaga Pengarah FGV benar-benar tersentak dengan pendirian Felda, apatah lagi terdapat seorang wakil Felda di dalam lembaga.

Difahamkan terdapat sebilangan isu yang menyebabkan Felda tidak senang. Satu daripadanya ialah perjanjian pajakan tanah (LLA) antara Felda dengan FGV. Apabila FGV disenaraikan pada 2012, Felda memberikannya 355,000 hektar tanah untuk diuruskan selama 99 tahun di bawah LLA.

Sebagai pulangan, Felda akan dibayar RM248 juta setahun sebagai bayaran pajakan, selain perkongsian keuntungan 15 peratus setahun.

Namun sudah tersebar kemahuan Felda untuk mengambil balik ladangnya atau mengkaji semula terma-terma LLA. Secara purata Felda sudah menerima RM400 juta setahun dari FGV, jauh rendah berbanding RM800 juta bagi perbelanjaan tahunan yang diperlukannya bagi mengurus dan menjaga kebajikan para peneroka.

Apakah isu di atas sudah dibincang secara rasmi antara kedua-dua pihak?

Kertas Putih

Pembentangan Kertas Putih Felda di Parlimen pada April lalu, menyaksikan kerajaan mengumumkan pelan menyelamat bernilai RM6.23 bilion.

Aspek yang mencolok mata ialah Kertas Putih menyatakan dana RM6 bilion yang diterima Felda daripada penyenaraian FGV pada 2012 telah diguna sebaiknya, dengan hanya 24 peratus diguna bagi perluasan.

Dibanding­kan dengan FGV yang menerima RM4.5 bilion daripada penyenaraian, pelbagai projek dan usaha niaganya yang tidak berjaya sudah diketahui umum.

Jadi sekarang apa perkem­bangan terkini hasil penemuan di dalam Kertas Putih Felda itu? Harap ia bukan satu lagi cerita gajah putih dalam ladang kelapa sawit.

Saman lagi

Pada 9 Julai lalu, syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) memfailkan saman terhadap Felda dan FIC berkaitan projek Kuala Lumpur Vertical City Project (KLVC) di Jalan Semarak.

Hal ini lagi membingungkan. Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad pernah kata pemindahan hak milik tanah seluas lapan hektar milik Felda di Jalan Semarak telah diselesaikan tanpa kos pada Jun 2014.

Tolonglah, selesaikan semua kerumitan ini. Ingatlah apa sahaja keputusan atau kesan tindakan korporat, akan memberi impak langsung dan tidak langsung kepada para peneroka Felda. Jagalah kebajikan mereka.

Cantum jadi ladang

Apa perkembangan rancangan menggabungkan ladang-ladang peneroka Felda kepada estet-estet besar dengan keluasan kira-kira 405 hingga 850 hektar yang akan diuruskan golongan terlatih dalam bidang pengurusan estet?

Sejak pengumumannya pada 7 Julai lalu, segala-galanya masih kabur. Aneh. Ingatkan zaman sudah berubah. Bila umum, bermakna segera dilaksanakan. Malangnya, sehingga sekarang, peneroka masih tertanya-tanya tentang perkara itu kerana pengumuman dibuat tanpa disertakan butiran lengkap pelan berkenaan.

Dalam media sosial, dalam kumpulan-kumpulan yang dianggotai warga Felda, majoriti besar menyatakan kekeliruan mereka terhadap pelan estet ini. Malahan ramai yang membantah tindakan mencantumkan ladang-ladang mereka kepada estet.

Kekurangan maklumat ini hanya menambahkan kekeliruan peneroka yang sudah pun keliru dengan Kertas Putih Felda yang dilancarkan pada April lalu.

Adakah penggabungan ladang kepada estet ini sama seperti dimaksudkan dengan pengenalan penanaman pintar dan pertanian jitu yang disebut Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa membentangan Kertas Putih Felda?

Johardy
Utusan



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *