Krisis PKR: Azmin jadi hero?

OLEH MALIKE BRAHIM

RETAK menanti belah. Perumpamaan ini barangkali sesuai dalam meneliti krisis kepimpinan parti PKR muktahir ini. Krisis terarah kepada Presiden dan Timbalannya. Jika krisis ini gagal ditangani segera, bencana besar bakal terjadi walaupun PKR parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH).

Krisis ini telah melepasi fasa pertengahan. Kini drama bersiri ini menuju fasa akhir. Episod akhirnya ini penentu siapa hero sebenar. Adakah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Jika kedua-dua pemimpin ini masih berada dalam PKR, drama ini bakal muncul siri ke-2. Lebih menariknya, dalam siri drama ini banyak iklan yang timbul.

Iklan-iklan itu antaranya kemunculan video kontroversi seks songsang yang telah tular dan mendapat perhatian dunia. Muncul pula ‘teguran’ daripada 28 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen PKR kepada Presiden mereka. Kemudian ada desas-desus mengatakan Azmin bersedia menyertai Bersatu. Difahamkan juga parti Gerakan sedia menawar­kan tempat kepada Azmin. Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat PKR negeri itu yang dilihat antara kumpulan penyokong kuat Azmin.

Pelakon utama dalam drama bersiri ini ialah Azmin dan Anwar. Jika kemelut kepimpinan PKR ini tidak diselesaikan secara ‘menang-menang’, tiada jalan lain lebih selamat bagi kedua-duanya kecuali salah seorang mesti dikeluarkan daripada PKR. Selagi cita-cita Anwar belum dimakbulkan sebagai Perdana Menteri, krisis kepimpinan PKR terus berlarutan.

Hendak disingkirkan Azmin daripada PKR, jalan berliku dan parah bakal ditempuhi Anwar dan sekutunya. Jika dikekalkan Azmin dalam PKR, ia menjadi duri dalam daging dan penghalang utama cita-cita Anwar sebagai Perdana Menteri. Keadaan ini ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Namun, adakah terdapat pendekatan menghalalkan cara’ bagi menyingkirkan Azmin dari PKR? Jika itu berlaku, maka Anwar mengulangi tindakan pernah dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepadanya ketika mereka bersama dalam UMNO lebih 20 tahun dahulu. Sudah pasti parti itu dituduh tidak demokratik dan melanggar prinsip perjuangan mereka demi menegakkan keadilan dan demokrasi di Malaysia.

Tindakan menyingkir­kan Azmin bukan memberi kelebihan kepada PKR. Bila disingkirkan, Azmin pasti mencari persinggahan baharu. Tempat paling selamat dan selesa kepada Azmin adalah dalam Bersatu. Hal ini memberi kelebihan kepada Bersatu. Kelebihan ini adalah ancaman berbisa kepada PKR, DAP dan Amanah dalam PH. Paling berisiko kumpulan ini bakal kehilangan kuasa kerana diramalkan Azmin dan sekutunya boleh meraih 118 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan 
baharu.

Beranikah Anwar mengambil risiko ini demi cita-citanya menjadi Perdana Menteri? Jangan disebabkan krisis ini, PKR boleh berada dalam situasi menang jadi arang, kalah jadi abu.

Bagi penulis, Azmin mesti kekal dalam PKR kecuali disingkirkan atau dipecat. Jika Azmin ingin menjadi hero sebenar dalam kerajaan PH dan PKR, beliau perlu kekal dalam PKR. Tindakan meninggalkan PKR, bermakna Azmin sebenarnya telah tewas tanpa bertarung. Dalam masa sama, tindakan ini seakan-akan membuktikan segala tuduhan ke atasnya sebelum ini adalah benar belaka. Jadi, Azmin perlu berpegang kepada prinsip berani kerana benar.

Justeru, Azmin perlu bijak bermain politik. Jika Presidennya tidak boleh menjadi mentor yang berkesan kerana mereka banyak perbezaan pandangan, Azmin ada pilihan lain yang lebih berbisa. Tentunya pilihan terbaik itu adalah Dr. Mahathir dan berguru dengannya. Dr. Mahathir sudah masak dengan permainan politik Malaysia ketika dalam BN-UMNO atau di luarnya. Ketika di luar BN-UMNO, Dr. Mahathir bergerak bersama PH berjaya menumbang­kan BN-UMNO.

Azmin perlu bijak bermain politik. Beliau tidak perlu terjebak kepada permainan politik kotor yang dicipta dari dalam atau luar PKR. Musuh Azmin bukan sahaja dari dalam PKR dan PH, tetapi berada di luar. Justeru, dalam pentas politik, tiada sahabat dan musuh politik yang kekal kecuali kepentingan.

Azmin harus berjaya mencipta kecemer­langan dan kegemilangan dalam politik dan pentadbiran negara melalui jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang disandangnya. Jika mampu menunjukkan prestasi terbaik dalam kalangan barisan Kabinet PH, tentunya Dr. Mahathir tiada alasan untuk menyingkirkan Azmin walaupun mungkin ada desakan pihak tertentu untuk berbuat demikian.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa Azmin mesti kekal dalam PKR. Di luar PKR bermakna Azmin berada di luar PH kecuali ada usaha lain melalui agenda tersembunyi membentuk pakatan lain bagi membentuk kerajaan selain PH.

Azmin mesti kental menghadapi musuh dan pesaing politik dalam PKR termasuk Presidennya. Jika benar mendapat sokongan majoriti dalam PKR, Azmin dalam pemilihan partinya akan datang boleh mencabar jawatan Presiden. Dengan cara itu, Azmin bakal didendang sebagai hero sebenar dalam PKR dan PH.

DR. MALIKE BRAHIM ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Utusan

Related Articles

2 Comments

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker