8 kali hantar surat tak dilayan, persatuan teksi mahu anjur himpunan

Sebuah persatuan teksi merancang menganjurkan satu himpunan di hadapan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Kementerian Pengangkutan, khususnya menterinya, Loke Siew Fook.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain berkata, himpunan itu akan diadakan pada 19 Jun ini dan akan disertai pemandu teksi seluruh negara.

“Kita sekali lagi mahu hantar memorandum meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad supaya campur tangan.

“Loke tak nak jumpa dan tutup pintu rundingan dengan kami. Walaupun sudah hantar surat 8 kali untuk berjumpa. Malah dia cop kami sebagai pemberontak,” katanya kepada FMT.



Pada 21 Mei lalu Gabungan Teksi Malaysia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Loke menyalahgunakan kuasa sebagai menteri pengangkutan.

Kamarudin mendakwa Loke dilihat meminda peraturan semata-mata untuk kepentingan pemandu e-panggilan.

Beliau berkata, sebelum ini pihak persatuan telah menyerahkan satu memorandum kepada Mahathir di Perdana Putra meminta campur tangan beliau dalam pertikaian itu, tetapi tidak mendapat respons.

Katanya, beliau mahu memastikan pemandu teksi mendapat layan sama rata seperti yang diberikan kepada pemandu e-panggilan.



Beliau mendakwa tindak-tanduk Loke adalah sama seperti kerajaan sebelum ini dan tidak ada pembaharuan dibuat untuk pemandu teksi.

Katanya, antara isu yang berbangkit adalah langkah Kementerian Pengangkutan membenarkan pemandu e-panggilan membuat permohonan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) secara atas talian, dengan menyifatkan ia merupakan layanan istimewa kepada syarikat seperti Grab.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker