Latheefa perlu buka semula `kes banglo, terowong’ – PCM

Share

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya perlu menunjukkan kemampuan dan komitmen tegas dengan segera untuk membuka kembali kertas siasatan kes banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan skandal projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.

Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan yakin rakyat pasti ternanti-nanti tindakan sewajarnya diambil dan sekiranya kes-kes tersebut tidak disentuh, maka jelas bahawa lantikan Latheefa tidak ada bezanya dengan lantikan politik yang lain.

“Isu pelantikan Puan Latheefa Koya diperkata dan diakui ramai tidak mengikuti janji manifesto Pakatan Harapan (PH) namun PCM menerimanya kerana menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri.


“Saya yakin Puan Latheefa sedang mendengar dan membaca pandangan pelbagai lapisan masyarakat. Malah sebagai aktivis masyarakat yang peka terhadap pelbagai isu utama di dalam negara, beliau pasti tahu keutamaan dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Justeru, saya berharap beliau mampu bertindak secara bijak, adil dan profesional dalam kes-kes yang dilaporkan kepada SPRM khususnya dalam skandal banglo dan terowong bawah laut berkenaan,” kata Cheng Guan dalam kenyataan hari ini.

Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin menerusi potral Malaysia Today sebelum ini menerbitkan beberapa artikel yang memaparkan kertas siasatan SPRM ke atas terowong dan projek jalan raya dengan anggaran RM6.3 bilion.


Berdasarkan artikel-artikel tersebut, ia dikatakan melibatkan Guan Eng dan beberapa pemimpin kanan DAP.

Latheefa baru-baru ini turut didesak oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau supaya membuka semula siasatan kes ke atas Guan Eng berhubung pembelian banglo miliknya yang menimbulkan kontroversi. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply