Relevan lagikah Tony Pua di Kementerian Kewangan?

TONY PUA

Tony Pua merupakan watak penting kepada DAP sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hingga dianggap sebagai aktor utama dalam melawan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saban hari ada sahaja komen, ulasan, kenyataan mahupun parodi yang dibuat Pua mengenai 1MDB, sementelah beliau juga anggota Jawatankuasa Akaun Kira-kira Awam (PAC) pada ketika itu.

Mungkin kerana itulah juga Pua menang besar ketika bertanding sebagai Ahli Parlimen Damansara dalam PRU-14, tetapi itu semua cerita sebelum Pakatan Harapan (PH) berkuasa, sebelum Barisan Nasional (BN) ditumbangkan.

Hari ini, enam bulan selepas PH berkuasa dengan DAP menguasai beberapa jawatan kanan dalam kerajaan, Pua yang suatu ketika dianggap hero DAP, kalah dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor. Pua sekadar menduduki tangga ke-19.

Sedangkan jika dicatur, mustahil Pua boleh kalah. Ini kerana sekalipun tidak menjadi menteri, Pua berkhidmat di Kementerian Kewangan di bawah Lim Guan Eng. Maknanya dalam erti kata politik, orang akan melihat Pua sebagai ‘budak’ Guan Eng.

Jadi persoalannya mengapa DAP Selangor hilang kepercayaan kepada Pua? Apakah ia sekadar kebetulan atau sememangnya wujud gerakan untuk menyingkirkan beliau kerana sebenarnya selepas PRU-14, DAP tidak menyenaraikan Pua sebagai salah seorang calon untuk diangkat sebagai menteri.

Jika ada gerakan, siapa pula yang cukup berpengaruh hingga boleh mempengaruhi perwakilan DAP Selangor. Khabar angin ketika ini sedang bertiup tetapi persoalan itu
hanya layak dijawab Guan Eng sendiri, termasuk mengapa beliau tidak menamakan Pua untuk menganggotai Kabinet, sebaliknya hanya sekadar menawar jawatan pegawai khas.

Pada masa yang sama, tidak dinafikan orang Cina mengamalkan budaya politik pragmatik dan tindakan DAP Selangor menolak Pua mencerminkan mereka sudah tidak yakin kepada bekas Pengerusi DAP negeri mereka sendiri lagi.

Sama ada benar-benar wujud atau tidak gerakan menyingkir Pua, yang pasti DAP Selangor sudah bersuara iaitu Ahli Parlimen Damansara itu tidak lagi memiliki kredibiliti untuk bersama mengemudi parti.

Justeru, jika DAP negeri yang beliau sendiri pernah pimpin pun hilang keyakinan, relevan lagikah Pua untuk terus berada di kementerian sepenting Kementerian Kewangan, yang mana Belanjawan 2019, yang mendapat sentuhan beliau sendiri dikritik hebat kerana tidak inklusif.

Barisan kepimpinan DAP Selangor:

Pengerusi: Gobind Singh Deo

Ahli Jawatankuasa:
1) Ng Sze Han (491 undi)
2) Tiew Way Keng (463 undi)
3) Ronnie Liu (442 undi)
4) Ng Suee Lim (439 undi)
5) V. Ganabatirau (429 undi)
6) Lau Weng San (421 undi)
7) Lee Ching Hung (410 undi)
8) Lee Fu Haw (400 undi)
9) Gobind Singh Deo (393 undi)
10) Lai Wai Chong (391 undi)
11) Ean Yong Hian Wah (384 undi)
12) Tee Boon Hock (345 undi)
13) Teng Chang Khim (335 undi)
14) Ong Kian Ming (324 undi)
15) Lee Kee Hiong (302 undi) – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker