Songkhla kena bom, teksi motosikal tiada pelanggan

Songkhla kena bom, teksi motosikal tiada pelanggan

PADANG BESAR – Tempias keadaan keselamatan yang tidak menentu di wilayah Songkhla selepas dua insiden pengeboman landasan kereta api Khlong Ngae menyebabkan pendapatan pe­ngusaha teksi motosikal terjejas.

Seorang pengusaha teksi motosikal, Abdulloh Zin, 50, berkata, pendapatan dia dan rakannya merosot hampir 80 peratus selepas insiden kedua letupan bom yang mengorbankan tiga nyawa di Khlong Ngea, Sadao di wilayah Songkhla baru-baru ini.



“Biasanya purata penumpang sekitar 10 orang sehari dan kami mengenakan caj sebanyak RM10 untuk trip sehala dari sempadan Malaysia memasuki Thailand.

“Namun, selepas insiden pengeboman di Khlong Ngae, pendapatan kami terjejas teruk dengan purata sekitar 2 orang penumpang sehari sahaja dan bertambah teruk semasa hari hujan,” katanya kepada Kosmo!

Tambahnya, pengguna per­khidmatan pengangkutan itu merosot teruk apabila penduduk negeri ini berasa bimbang de­ngan insiden yang meragut tiga nyawa pekerja syarikat kereta api Thailand itu.

Pada 4 Disember lalu, sebutir bom diletupkan dekat Stesen Kereta Api Khlong Ngae menyebabkan beberapa gerabak yang membawa muatan kargo tergelincir dari landasan.



Insiden kedua berlaku se­lang dua hari kemudian pula menyebabkan kemalangan jiwa apabila tiga pekerja baik pulih landasan maut, manakala empat lagi cedera di lokasi sama.

Sementara itu, seorang pengusaha van penumpang yang hanya ingin dikenali sebagai Azit, 50-an berkata, dia tetap beroperasi dengan mengambil penumpang yang telah membuat tempahan awal.

“Kebanyakan penumpang yang menempah perkhidmatan van ulang-alik dari Malaysia ke Thailand ialah warga Thailand yang bekerja di Malaysia.

“Mereka akan menempah le­bih awal untuk proses dokumentasi pas perjalanan dan permit kerja di Thailand sebelum pulang semula ke Malaysia untuk be­kerja,” jelasnya.



Dalam pada itu, tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan mendapati, masih terdapat ramai warga Malaysia yang berkunjung ke negara jiran di sebalik insiden pengeboman itu.

Kebanyakan daripada mereka menggunakan kenderaan sendiri atau menggunakan bas pelancong yang didaftarkan di Malaysia berbanding khidmat pe­ngangkutan dari Thailand.

Seorang pengusaha pelancongan negara jiran yang enggan dikenali berkata, kebanyakan pelancong dari negara ini menggunakan pengangkutan udara untuk terus menuju destinasi pelancongan di negara itu.

“Ramai takut guna pengangkutan darat ke Thailand, mereka lebih rasa selamat,” jelasnya. K Online



Songkhla kena bom, teksi motosikal tiada pelanggan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker