Pembangkang boleh menang 132 kerusi Parlimen, jika muafakat berjalan baik – Tn Ibrahim

Pembangkang boleh memenangi lebih 132 kerusi Parlimen jika kerjasama Umno-BN dan PAS dapat direalisasikan dengan baik dalam pilihan raya umum akan datang, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu berkata, perkiraan itu dibuat berdasarkan kiraan jumlah undi yang diterima pembangkang pada pilihan raya lepas.

“PAS dan Umno akan rangka muafakat politik dalam konsep yang dipersetujui bersama. Jika ada masalah, PAS ada 2 negeri Kelantan dan Terengganu dan Umno miliki Perlis dan Pahang.

“Kita dah kira kalau muafakat politik ini berjalan dengan betul, kita boleh menang lebih 132 kerusi Parlimen. Itu berdasarkan mood keputusan yang lalu.



“Apa yang berlaku di pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bukan ombak biasa, tapi gambaran tsunami politik yang akan berlaku dalam pilihan raya umum ke-15,” katanya ketika berceramah di Kampung Linsum di sini bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan malam tadi.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa dan ketua penerangan parti itu, Shamsul Anuar Nasarah.

Tuan Ibrahim berkata, kemenangan Mohamad Hasan di Rantau adalah penting untuk memberi isyarat jelas tentang komitmen dan kekuatan pembangkang.

“Kita bersama dalam banyak perkara. Sebab itu kita tubuh jawatankuasa untuk rangka hala tuju politik PAS dan Umno, Kita juga bersetuju untuk bekerjasama dalam konteks membawa kepentingan rakyat di peringkat Parlimen atau negeri. Kita komited membela nasib rakyat,” katanya.



Tuan Ibrahim, yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut memaklumkan bahawa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang akan turut membantu kempen BN di Rantau dalam masa terdekat.

“Presiden PAS sudah keluar hospital dan dia akan turun bantu kempen untuk menangkan Tok Mat,” katanya, merujuk kepada Mohamad Hasan yang turut dikenali dengan panggilan itu.

PRK Rantau yang dijadualkan pada 13 April depan menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Mohamad dengan calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker