#PrkRantau : UMNO-Pas akan kongsi pentas ceramah perdana – Tok Mat

Share

Satu ceramah perdana bersama yang melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pas akan diadakan bersempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sedang berlangsung ketika ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penganjuran ceramah itu nanti adalah sebagai penutup kempen BN bagi PRK Rantau dan dijangka turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Komitmen daripada pihak Pas untuk membantu PRK Rantau ini amat tinggi, kita dapati kepemimpinan tertinggi mereka turun melainkan Abdul Hadi yang kurang sihat dan dengarnya beliau baru sahaja keluar daripada pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN).


“Tetapi kita ada merangka untuk buat satu ceramah perdana, saya bersama Abdul Hadi untuk kita menutup kempen PRK di Rantau ini, seperti mana kita buat di Cameron Highlands dan juga di Semenyih,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamad yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO menambah, komitmen yang ditunjukkan oleh Pas bagi membantu BN dalam PRK Rantau adalah amat dihargai.

“Kami nampak komitmen mereka amat tinggi, jentera Pas turun tetapi orang tak nampak, kerana di Rantau kita telah ubah suai cara berkempen antara UMNO dan Pas.


“Jentera kempen Pas dan UMNO ini kami telah satukan, tidak bergerak berasingan. Seperti yang kita tahu Pas tak kuat sangat di Rantau serta tak banyak cawangan dan penyokong, oleh itu jentera bersama ini akan pergi rumah ke rumah berkempen secara bersepadu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-pas-akan-kongsi-pentas-ceramah-perdana-1.876955#ixzz5kCVpjqKI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply