Mohamad hargai Najib bantu kempen di Rantau

Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mengalu-alukan kedatangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sendayan bagi membantu kempen PRK itu malam ini.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kedatangan bekas Presiden UMNO itu mempunyai signifikan yang besar kepada penduduk di kawasan itu.

“Ini kerana, Najib telah memberi bantuan yang besar kepada penduduk di Sendayan. Beliau adalah pemimpin yang banyak membantu merealisasikan apa yang boleh dilihat sendiri oleh rakyat di kawasan itu hari ini.

“Saya harap penduduk dan masyarakat akan keluar memberi sambutan yang mesra kepada beliau,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini hari ini.



Mengikut jadual, Najib dijangka menunaikan solat Maghrib di Surau An-Nur, Bandar Sri Sendayan sebelum bergerak ke Masjid Sendayan untuk solat Isyak.

Beliau kemudian bersantai bersama orang ramai di Shamiera Tomyam dekat Bandar Sri Sendayan mulai pukul 9.30 malam.

Lebih 2,000 hektar tanah telah dibangunkan di Sendayan melalui projek Bandar Sri Sendayan (BSS) selepas kerajaan berjaya mengambil alih tanah ladang peneroka Felda Sendayan pada 2006 iaitu dua tahun selepas Mohamad dilantik sebagai Menteri Besar pada 2004.

Projek itu menjadi isu hangat selama kira-kira 10 tahun selepas sebuah syarikat gagal melaksanakan projek pembangunan di situ pada 1995.



Selain BSS, Sendayan juga menempatkan Pangkalan Udara Sendayan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah dirasmikan oleh Najib pada 16 Mac tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/mohamad-hargai-najib-bantu-kempen-di-rantau-1.876322#ixzz5k6bci0ui
© Utusan Melayu (M) Bhd

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker