Sin Chew diminta bayar Khairuddin pampasan fitnah RM1 juta

Akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation diminta membayar ganti rugi RM1 juta kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai pampasan terhadap fitnah berhubung penyiaran gambar peribadi beliau dan isterinya ketika bercuti di Belanda pada 2016.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengemukakan tuntutan berkenaan melalui firma guaman Zulpadli & Edham dalam notis bertarikh 14 September 2020 dan difahamkan, telah diterima oleh agensi media tersebut hari ini.

Berdasarkan kepada notis tuntutan tersebut, Sin Chew Daily dikatakan telah menyiarkan gambar terbabit berserta artikel yang boleh didapati melalui pautan https://www.sinchew.com.my/content/content_2335209.html seperti terjemahan yang berikut: “Gambar Khairuddin berada di luar negara terdedah! Teresa Kok: Sebenarnya pergi melancong di tempat mana?” pada 1 September lalu.



Penerbitan gambar dan artikel tersebut juga dikongsi dalam laman Facebook Sin Chew Daily pada 1 September lalu yang boleh didapati melalui pautan https://www.facebook.com/255057814552667/posts/3843044322420647/ dan telah mengundang lebih 1000 sukaan, lebih 300 perkongsian dan lebih 160 komentar di mana jumlah tersebut masing-masing meningkat saban hari.

“Kami telah diarahkan anak guam kami untuk mengumpul kenyataan dan berita di media berita dan media baru berhubung penyebaran gambar peribadi lawatan anak guam kami dan isteri ke Belanda pada sekitar tahun 2016 iaitu ketika musim sejuk yang mengaitkannya dengan lawatan ke Turki pada 3 hingga 7 Julai 2020 iaitu ketika musim panas.

“Anak guam kami menegaskan bahawa beliau sering ke Belanda sejak 2016 hingga 2019 atas kapasiti peribadi dan urusan kerja termasuk berkunjung ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk menghadiri perbincangan untuk membawa Israel ke muka pengadilan berkenaan isu kezaliman terhadap Palestin.

“Oleh yang demikian, kami telah diarahkan anak guam kami untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan menimbulkan persepsi jahat terhadap beliau,” kata firma guaman Zulpadli & Edham.



Selain tuntutan ganti rugi RM1 juta, Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation juga diminta berhenti memfitnah Mohd Khairuddin dengan serta-merta serta memadamkan gambar dan artikel tersebut dengan serta-merta.

Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation juga dikehendaki membuat permohonan maaf kepada Mohd Khairuddin tanpa syarat mengikut cara yang dipersetujui oleh beliau dalam tempoh tujuh hari dari notis tersebut.

Agensi media terbabit juga perlu memberi jaminan dan aku janji secara bertulis bahawa tidak akan mengulangi penerbitan gambar mahupun artikel fitnah atau tuduhan serupa terhadap Anakguam kami dalam tempoh tujuh hari dari notis berkenaan.

Firma guaman berkenaan menegaskan, prosiding undang-undang akan dimulakan terhadap Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation sekiranya gagal melaksanakan semua tuntutan tersebut. – EDISI 9



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker