Hidupkan roh, semangat luhur Melayu-Islam

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti, suatu yang besar maknanya walaupun keluasan Melaka bukanlah besar berbanding negeri-negeri lain.

Pertandingan hanya bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebuah parti politik atau gabungan parti politik hanya perlu 15 kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah.

Walaupun perlukan 15 kerusi sahaja tetapi jumlah itu bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai dalam situasi percaturan politik sekarang. Percaturan kuasa politik yang berlaku sekarang adalah kompleks, sukar ditentukan secara mudah. Tidak selari antara prinsip asas politik di peringkat Pusat dan peringkat negeri menimbulkan beberapa persoalan sukar.

Kerajaan Pusat yang terbentuk adalah antara gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta parti-parti politik di Sabah dan Sarawak. Gabungan ini tidak berjaya dibawa ke peringkat pengurusan politik dan PRN Melaka.

Hari penamaan calon semakin hampir (8 November) tetapi tidak ada satu keputusan parti-parti politik utama Melayu-Islam akan bergabung dan bekerjasama. UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menyatakan akan bekerjasama melawan Pakatan Harapan (PH).

UMNO masih berpegang kepada prinsip tidak akan bekerjasama dengan Bersatu walaupun nampak seakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka ruang untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN. UMNO melalui kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bertanding bersendirian serta seakan yakin menang dan menguasai kerajaan negeri Melaka.

UMNO boleh bertanding bersendirian dan keputusan ini tidak menyalahi prinsip demokrasi dan undang-undang. Persoalan yang timbul, sejauh mana UMNO akan menang dengan jumlah mencukupi bagi membentuk sebuah kerajaan negeri selepas 20 November nanti?

Adakah keputusan ini akan mengukuhkan kedudukan UMNO dalam politik negara atau sebaliknya? Adakah PN (Bersatu, Pas dan Gerakan) mampu mendapat sokongan besar bagi mendapat sekurang-kurangnya 15 kerusi? Berapa pula kerusi akan berjaya dimenangi PH (PKR, DAP dan Amanah)?

Matlamat akhir bagi pengundi dan rakyat Melaka adalah membentuk sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil. Pengorbanan mengadakan PRN dalam situasi Covid-19 yang belum selesai akan sia-sia dan tiada apa-apa faedah jika keputusan nanti gagal membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil dengan majoriti DUN kerajaan baharu lebih besar. Kalau hanya majoriti satu atau dua kerusi, tidak benar-benar menjamin sebuah kerajaan negeri yang betul-betul stabil. Sebuah kerajaan negeri dengan majoriti kecil akan menimbulkan risiko besar dan kemungkinan berlaku perpecahan dan keruntuhan lagi pada masa akan datang.

Orang Melayu masih menjadi pengundi majoriti di Melaka. Kawasan DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu masih mampu membentuk sebuah kerajaan negeri berteraskan Melayu-Islam dengan kukuh.

Dalam struktur politik sekarang, mampukah terbentuknya sebuah kerajaan negeri berteraskan Melayu-Islam? Kalau sebuah kerajaan Melayu-Islam gagal dibentuk, adakah kuasa kerajaan negeri akan beralih kepada pimpinan PH? Inilah persoalan yang perlu difikirkan oleh pengundi Melaka.

ONAR

Persoalan asas bukan politik perkauman antara Melayu dan bukan Melayu, tetapi yang lebih besar adalah kestabilan politik dan sebuah kerajaan negeri yang benar-benar kukuh, mampu membawa kesejahteraan dan dasar pembangunan terjamin kepada seluruh rakyat.

Pengundi mesti memilih parti-parti yang bersih dan mempunyai matlamat membina kestabilan dan membela rakyat, bukan parti yang memikir kepentingan diri dan politik sempit semata-mata. Parti politik atau wakil rakyat yang selalu membuat ‘onar’ dengan menggunakan kuasa bagi meruntuhkan kerajaan perlu diketepikan buat sementara waktu.

Pada masa sama, parti-parti politik khususnya Melayu-Islam perlu memikirkan sebuah kerjasama bagi memudahkan pengundi membuat pilihan. Parti-pari utama politik Melayu seperti UMNO, Bersatu dan Pas wajar membentuk pakatan atau kerjasama rapat tanpa berbelah bahagi.

Bertanding secara bersendirian akan memberikan risiko besar berbanding membentuk sebuah kerjasama politik (bertanding secara berasingan adalah jalan terakhir).

Seboleh-bolehnya parti-parti utama Melayu ini membuat keputusan seawal mungkin sebelum hari penamaan calon. Pertelagahan sesama mereka pasti merugikan kepentingan orang Melayu dan melemahkan kedudukan parti-parti politik Melayu.

Pertandingan tiga penjuru sebaik-baiknya dielakkan. Dalam keadaan pengundi Cina berada dalam keadaan bersatu/bekerjasama, kawasan DUN campuran akan membawa risiko besar kepada parti-parti politik Melayu yang berpecah. UMNO atau PN/Bersatu akan menghadapi risiko besar di kawasan DUN pengundi campuran. Dalam keadaan pengundi Cina bersatu dengan hanya sedikit sokongan pengundi Melayu kepada calon PH (sama ada PKR, DAP atau Amanah) akan menjamin kemenangannya. Elakkanlah perpecahan undi sesama pengundi Melayu.

PRN Melaka akan memberikan cerminan besar kepada politik dan kestabilan negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Pengundi perlu bijak memilih dengan matlamat utama membina sebuah kerajaan yang kuat, stabil serta mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat. Pimpinan utama parti-parti politik khususnya Melayu-Islam perlu meletakkan kepentingan bangsa dan agama serta kestabilan politik sebagai tonggak serta matlamat utama perjuangan. Kepentingan diri, politik kepartian sempit serta perjuangan jangka pendek perlu diketepikan.

Selamat berjuang membina kestabilan. Julang tinggi pejuang silam. Hidupkan roh, semangat luhur. Jauhkan kepentingan diri. Negara bangsa, kedaulatan jadi matlamat utama. Politik bukan sekadar pangkat dan jawatan, tapi roh hakikat dan amanah bangsa.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Hidupkan roh, semangat luhur Melayu-Islam


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: Muhyiddin umum PN bertanding menentang BN dan PH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker