Kami perlu i-Citra RM10,000, kata mangsa banjir

Kami perlu i-Citra RM10,000, kata mangsa banjir

Penduduk Taman Sri Muda di Seksyen 25 di sini yang terkesan dengan banjir memerlukan dana i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban mereka kerana bantuan kerajaan RM1,000 tidak mencukupi.


Pekerja swasta, Ina.



Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 40, berkata, rata-rata penduduk di Sri Muda kehilangan rumah akibat banjir 10 hari lalu, manakala barangan elektrik dan perabot terpaksa dibuang kerana rosak dimasuki air.

“Kita sangat perlukan i-Citra, itu duit kita. Memang itu duit untuk hari tua, tapi kita perlukan duit itu sekarang sebab ini banjir besar. Kita alami banyak kerugian. Kereta rosak, satu rumah tenggelam. Semua barang dalam rumah rosak.

“Kalau kerajaan beri i-Citra, ia bantu sangat untuk kita beli benda penting. Jumlah yang kita nak beli banyak, dengan anak nak sekolah lagi, jadi kita perlukan jumlah yang banyak,” katanya kepada FMT.

Semalam, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran i-Citra KWSP sebanyak RM10,000 sekali lagi kerana bantuan secukupnya sudah diberikan kepada mangsa banjir.



“Kalau beri alasan nak buka perniagaan baharu kerana terjejas banjir, TEKUN sudah tawar RM10,000, pinjaman mudah tanpa faedah dan moratorium tak perlu bayar setahun.

“Bank seperti BSN juga akan beri pinjaman RM10,000 secara pinjaman persendirian untuk beli barangan keperluan asas rumah tanpa faedah dan enam bulan moratorium.”


Jururawat, Wahida.

Jururawat di sebuah hospital swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Wahida, 42, berkata, jumlah kerugian ditanggung mangsa banjir begitu besar berbanding bantuan kerajaan sekadar RM1,000 yang jauh daripada mencukupi.



“Perdana Menteri kata bantuan kerajaan sudah mencukupi. RM1,000 sahaja. Bayangkan satu rumah dan segala-galanya ‘hanyut’, RM1,000 itu kita boleh beli apa? Itu pun masih dalam proses, banyak lagi (prosedur) kena buat.

“TEKUN? Tak semua orang dapat dan kena bayar balik. Kalau tak bayar, dia (TEKUN) akan telefon, telefon dan telefon. I-Citra duit kita sendiri, tak perlu bayar balik.

“Pinjaman BSN pula, orang yang ada akaun dengan BSN saja boleh buat (pinjaman). Tak semua boleh mohon dan belum tentu lulus. Kami mahu I-Citra. Itu duit kami dan kami tak mahu bayar balik,” tegasnya.

Beliau berkata, mangsa banjir memerlukan i-Citra kerana itu adalah wang mereka, walaupun ia akan menyebabkan simpanan mereka berkurangan dan jika membuat pinjaman, ada yang tidak mampu membayar balik.



“Kenapa pula nak miskin? Itu duit kami. Miskin tak miskin, itu hak kita. Pandai-pandailah kami nak hidup nanti. Sekarang ini, kita hanya mahu duit sendiri sebab kita tak mampu nak bayar balik (pinjaman).

“Ramai kat sini yang hilang kerja. Kalau tak kerja macam mana nak bayar pinjaman?”


Kakitangan swasta, Hairi.

Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Hairi, 47, berkata, bantuan kerajaan RM1,000 hanya cukup untuk membeli makanan dan barang keperluan sedangkan mereka memerlukan banyak wang bagi menggantikan perabot serta perkakas rumah yang rosak.



“Barang (rumah) yang hilang tak tahu berapa belas ribu. Kalau setakat RM1,000 (bantuan kerajaan) beli makanan bolehlah, barang (rumah) lain memang tak lepaslah.

“(KWSP) nak tunggu dapat pada hari tua, entah hidup lagi ke tidak. Ketika kami ditimpa musibah inilah kami nak pakai duit. Kalau TEKUN pun untuk orang berniaga. Nanti macam mana nak bayar balik pula?”


Pekerja swasta, Duru.

Seorang lagi pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Duru, 47, berkata, simpanan KWSP adalah hasil titik peluh mereka.



“Ada mangsa banjir meninggal dunia. (Kalau dia ada KWSP), macam mana dia nak pakai duit dia sekarang? Dia sudah meninggal dunia.

“Jadi, berilah duit kita. Kalau pinjaman, kita beli barang rumah lepas itu kena bayar pinjaman pula. Macam mana?” soalnya. FMT

Kami perlu i-Citra RM10,000, kata mangsa banjir


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Ibu Puteri Balqis tampil pertahankan anaknya

Nabila Huda berang dengan akak yang digelarnya bangsat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker