30 kerusi UMNO-Pas ancam PH

TUMPANG gemar menggodek-godek sejarah masa lalu.

Bila sejarah silam diadunkan dengan masa kini, banyak teladan dan iktibar singgah di benak fikiran, lubuk hati.

Kerajaan campur­an Pas-Perikatan yang ber­jaya dimeterai pada 1974 merupakan cetusan idea Per­dana Menteri, Tun Abdul Razak selaku Presiden UMNO.

Tun Razak antara lain mahu melihat umat Melayu-Islam bersatu. Syiar Islam pula ditegakkan dalam pemerintahan negara.

Keputusan Pilihan Raya Umum keempat itu (1974) menyaksikan BN menang 135 kerusi Parlimen termasuk 47 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding. Parti pembangkang yang kuat ketika itu, DAP hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen.

Masa berlalu. Empat puluh lima tahun kemudian, dua parti Melayu terbesar ini – Pas dan UMNO – bertaut kembali.

Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kuantan pada 22 Jun lalu sebulat suara meluluskan usul memeterai kerjasama dan perjanjian politik dengan UMNO.

Tidak gentarkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan kerjasama ini?

Khabarnya usaha-usaha untuk memperincikan piagam kerjasama itu sedang giat dilaksanakan, dengan 10 Julai ini mempertemukan dua Naib Presiden masing-masing, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Idris Ahmad.

Tempoh hari ada parti dalam PH menggelarkan kerjasama UMNO-Pas ini suatu polisi ‘bumi hangus’.

Lebih mengejutkan lagi mereka melabelkan kesepakatan itu ‘menyasarkan’ orang bukan Melayu dan bakal menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Wow! ngeri sungguh reaksi ini sedangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih terlalu jauh lagi tarikhnya. Mandat kerajaan sekarang cuma akan berakhir 9 atau 10 Mei 2023.

Apakah yang mengundang kebimbangan ini? Wajarkah PH gentar dengan kerjasama Pas-UMNO ini?Tumpang tidak ada jawapannya.

Namun bila pergi agak terperinci, didapati sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen yang dimenangi PH dalam PRU-14 tempoh hari akan ‘bermasalah’ dalam PRU-15.

Ia seandainya ‘tiada sebarang cacat cela’ dalam kesepakatan Pas-UMNO ini.

Zulkifli Jalil
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker