Banjir Pakistan: Setengah juta penduduk bersesak dalam kem

Banjir Pakistan: Setengah juta penduduk bersesak dalam kem

Islamabad: Hampir setengah juta penduduk di Pakistan terpaksa hidup bersesak dalam kem selepas kehilangan tempat tinggal berikutan banjir terburuk melanda negara itu.

Kerajaan negara itu pada Isnin memberi amaran Pakistan berada di garisan hadapan krisis iklim dunia susulan hujan peralihan monsun sejak Jun lalu hingga mengakibatkan banjir yang sudah meragut 1,130 nyawa.



Meskipun hujan sudah berhenti lebih dua hari lalu dan banjir di beberapa kawasan semakin surut, rakyat Pakistan di kebanyakan wilayah masih terjejas kerana penempatan mereka masih digenangi air, selain terputus hubungan.

Dalam satu insiden yang paling teruk, sekurang-kurangnya 11 penduduk terbunuh pada Isnin apabila bot digunakan penyelamat sukarela untuk memindahkan 12 penduduk terbalik di perairan Sungai Indus berhampiran Bilawal Pur, lapor media tempatan.

Menteri Iklim Sherry Rehman dan jabatan meteorologi negara itu memberitahu The Associated Press (AP), peralihan monsun baharu dijangka berlaku lagi September ini.

Pakistan sudah biasa dengan hujan monsun dan banjir, kata Rehman, tetapi tidak seperti ini.



“Apa yang kita lihat dalam tempoh lapan minggu lalu baru-baru ini ialah hujan lebat tanpa henti yang tidak pernah dibawa peralihan monsun sebelum ini,” katanya.

Hujan yang mengakibatkan bencana terburuk di negara itu disifatkan Rehman sebagai malapetaka berikutan perubahan iklim, termasuk gelombang panas, kebakaran hutan dan pencairan tasik glasier.

Kerosakan itu mencerminkan bagaimana negara miskin terpaksa ‘membayar harga tinggi’ berikutan perubahan iklim yang sebahagian besarnya disebabkan kebanyakan negara perindustrian.

Sejak 1959, Pakistan hanya melepaskan 0.4 peratus daripada pelepasan pelepasan karbon dioksida (CO2) di dunia, manakala Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab terhadap 21.5 peratus pelepasan CO2, diikuti China (16.5 peratus) dan Kesatuan Eropah (15 peratus).



“Iklim tidak mengenal sempadan dan kesannya boleh dirasai secara tidak seimbang,” kata Rehman.

“Apabila anda melihat sistem tekanan rendah yang datang dari Teluk Bengal, ia menyerang kami sebelum sesiapa pun. Jadi kami berada di garisan hadapan krisis global.”

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara itu memaklumkan, banjir kali ini sudah membunuh lebih 1,136 penduduk, mencederakan 1,636 yang lain, selain merosakkan lebih sejuta rumah.

Sekurang-kurangnya 498,000 penduduk ditempatkan di kem bantuan, sementara ramai lagi dipercayai tinggal bersama saudara-mara dan rakan.



Bantuan antarabangsa mula disalurkan ke Pakistan dan tentera membantu mengagihkan bantuan ke kawasan terpencil dan memindahkan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Arif Ullah, pegawai di Jabatan Meteorologi Pakistan, memberitahu AP lebih banyak taburan hujan akan melanda Pakistan bulan depan.

Perdana Menteri Shahbaz Sharif pada hari Isnin pula berkata, hujan setakat ini adalah yang paling lebat pernah dilihat dalam tiga dekad di negara itu.

Sharif berkata, kerajaan akan menyediakan perumahan kepada semua penduduk yang kehilangan rumah.



Sekurang-kurangnya 6,500 tentera dikerahkan untuk membantu, dan menggunakan pesawat tentera, helikopter, trak dan bot untuk memindahkan orang ramai dan menyampaikan bantuan kepada mereka. HM

Banjir Pakistan: Setengah juta penduduk bersesak dalam kem


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Pukulan Khairulaming, Pelanggan Beratur Panjang Mahu Rasa Nasi Lemak RM1.00 Bangsudu

Wanita Ini Dedahkan Sisi Gelap Bisnes Mesin Air

Misteri Raja bertanduk dua disebut dalam al-Quran – Bhg 1

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker