POLEMIK MORATORIUM: APA PILIHAN KITA?

Oleh Shahril Hamdan

Saya pecahkan penerangan kepada dua aspek. Pertama, aspek pilihan yang ada kepada peminjam berlandaskan kenyataan terkini Bank Negara Malaysia malam tadi. Kedua, aspek pengurusan politik.

A. ASPEK PILIHAN YANG ADA KEPADA PEMINJAM

Ada 3 pilihan:



1) tolak moratorium. Bayar macam biasa.

Jika ambil moratorium, boleh pilih

2) pada bulan Oktober 2020, bayar lumpsum jumlah tertangguh. Kalau sebelum moratorium ini, tiap2 bulan bayar RM1,000, bulan Oktober nanti bayar 1000+6000 = RM7,000. Dengan cara ini, tiada tambahan faedah dikenakan dan tiada tambahan tempoh pinjaman. Cuma berat la tiba-tiba nak bayar 7,000.

3) bermula Oktober 2020, mula bayaran lebih untuk tampung faedah dikenakan (terakru). Ikut contoh RM1,000 tadi, bermula Oktober 2020, bayaran mungkin naik ke RM1,030 atau mengikut formula kontrak masing-masing dan baki tempoh pinjaman. Bab ini, bank masing-masing kena jelaskan berapa sebenarnya lebihan – juga bergantung sama ada faedah berganda (compounded) atau tidak. Kalau ikut opsyen ini, tempoh pinjaman juga dipanjangkan 6 bulan. Contoh, kalau sebelum ini baki tempoh pinjaman 60 bulan, sekarang jadi 66 bulan.



Opsyen 3 ni barangkali tak terasa sangat sebab bayaran faedah terakru 6 bulan itu dibahagikan mengikut baki tempoh bayaran.

—–

B) ASPEK PENGURUSAN POLITIK

Sebarang kenyataan dalam tempoh 12-24 jam akan datang, Kerajaan wajar mengakui kelemahan komunikasi yang berlaku. Jika Kerajaan seolah-olah terlalu defensif dan dilihat menyalahkan rakyat salah faham dan sebagainya, itu satu kesilapan. Kenapa?



1. tak boleh dinafikan komunikasi tidak sempurna. Contohnya, soalan lazim (FAQ) Bank Negara Malaysia pun berubah. Pada awalnya tidak disebut faedah berganda (meskipun tidak juga dijanjikan tiada faedah berganda). Sekarang ini disebut pula ada kemungkinan faedah berganda mengikut budibicara bank-bank komersil. (Rujuk lampiran pertama dan kedua)

Contoh lain, pada mulanya dilihat bahawa moratorium ini adalah automatik dan hanya mereka yang tidak mahu, boleh tolak. Sekarang kena tunggu bank menghubungi kita dan kita kena pilih pula.

2. dalam penerangan Kerajaan sebelum ini, tidak cukup ditekankan bahawa bayaran faedah terakru tetap dikenakan. Ya, mungkin ada dalam FAQ dan penerangan teknikal, tetapi ia tidak dijelaskan dalam bahasa mudah. Seharusnya Kerajaan cakna dengan tanggapan umum dan awal-awal memperbetul sebarang salahtanggapan.

Malah dalam FAQ BNM pun ada penerangan yang mengelirukan sebelum ini. Dalam satu ayat kata ada faedah terakru dikenakan. Dalam ayat lain, BNM gambarkan bahawa jadual pembayaran tetap sama. Macam mana nak sama kalau ada tambahan faedah terakru dikenakan? (Lampiran ketiga)



—-

Pun begitu, saya agak sinis dengan kritikan pihak pembangkang yang seolah-olah meraikan isu ini. Sewaktu awal-awal pengumuman moratorium ini pada 24 Mac, kalau ingat, yang melaporkan dahulu bukan Perdana Menteri mahupun Kementerian Kewangan, tetapi melalui satu pekeliling dari BNM yang terdedah kepada media.

Waktu itu, ramai puak PH berpusu-pusu memuji dan beri kredit kepada BNM, seolah-olah ia tiada kena mengena dengan Kerajaan. (Lampiran keempat)

Hari ini, bila BNM buat kesilapan komunikasi, PH salahkan Kerajaan 100% pula.



Itu mainan politik yang tidak ikhlas.

Ya, ada kekurangan disini, khususnya kegagalan memperbetul dan menjelaskan dari awal – yakni kelemahan komunikasi.

Ini waktu luarbiasa. Tiada Kerajaan dalam dunia sekarang ini yang terselemat dari tekanan mendesak. Walaupun pada hemat saya perlu ada pakej pemulihan ekonomi menjangkaui inisiatif Prihatin sedia ada (akan saya kupas lagi kelak), sekurang-kurangnya Kerajaan telah membuktikan ada usaha mempermudah aliran tunai rakyat. Jika wujud kekurangan, akui dan cuba fahamkan kepada rakyat dengan nada rendah diri.

Selamat bersahur.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker