Naatu Naatu cetus fenomena di Hollywood

Naatu Naatu cetus fenomena di Hollywood

Kejayaan single Naatu Naatu yang menjadi runut bunyi filem Bollywood, RRR mengungguli kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95, kelmarin membuka laluan untuk pelbagai karya dari India mengharum di Hollywood.

Dendangan lagu ciptaan M M Keeravaani dengan sentuhan lirik Chandrabose serta dirakamkan Rahul Sipligunj dan Kaala Bairava, mengatasi beberapa lagu ‘mesra pendengar’ iaitu Lift Me Up dendangan Ryan Coogler, Ludwig Göransson, Rihanna dan Tems daripada filem Black Panther: Wakanda Forever; Hold My Hand nyanyian Lady Gaga dan BloodPop (Top Gun: Maverick).



Naatu Naatu yang dipersembahkan di pentas Oscar Ke-95, turut mengatasi single Applause nyanyian Diane Warren (Tell It Like a Woman) serta This Is a Life nyanyian Ryan Lott, David Byrne dan Mitski (Everything Everywhere All at Once).

Lebih manis, Naatu Naatu muncul lagu pertama daripada filem Bollywood yang menerima trofi Lagu Terbaik di pentas Oscar.

Menyingkap kisah di sebalik kejayaan lagu yang dibawa sepenuhnya dalam bahasa Telugu itu, Keeravani berkata, apa yang ditampilkan adalah terjemahan daripada usaha mereka sepasukan sejak memulakan proses pembikinan.

“Ada banyak tenaga yang digunakan dalam penghasilan lagu ini. Liriknya menerangkan bahawa pelbagai jenis tenaga baik secara sederhana, mahupun tinggi diperlukan.



“Untuk menyelaraskan lagu dengan jalan cerita dalam filem RRR, saya ambil masa menulis 20 lagu sebelum Naatu Naatu dipilih.

“Sangat sukar untuk membuat keputusan dengan memilih satu daripada 20 lagu, jadi kami meminta pendapat daripada kalangan kru filem. Kebanyakan mengundi lagu ini dan penilaian mereka tidak salah,” katanya.

Keeravani berkata, Naatu Naatu bukan sekadar lagu, sebaliknya bingkisan yang merakamkan keseluruhan pengalaman hidup.

“Tidak dinafikan, lagu-lagu lain yang pernah dihasilkan turut mendapat perhatian. Namun, Naatu Naatu adalah yang pertama mendapat sambutan antarabangsa seperti ini,” katanya.



Menerusi RRR, lagu Naatu Naatu digunakan ketika babak pertelingkahan membabitkan gandingan pelakon utama filem iaitu N T Rama Rao Jr yang membawa watak Komaram Bheem dan Ram Charan (Alluri Sitarama Raju) dengan sekumpulan rakan sejawat mereka dari British.

Penggambaran muzik video Naatu Naatu dilakukan di Istana Mariinskyi, Ukraine (kediaman rasmi Presiden Ukraine) pada Ogos 2021 sebelum berlaku pencerobohan Russia ke atas negara itu. Ia juga menjadi antara penggambaran terakhir filem RRR.

Muzik video berdurasi lebih empat minit yang turut menampilkan kira-kira 50 penari dan 400 pelakon tambahan itu disempurnakan dalam tempoh 15 hari dengan bantuan koreografer, Prem Rakshith.

Keeravani menyamakan melodi lagu berkenaan dengan rentak tradisional lagu rakyat di perkampungan India. selain menggunakan gendang kulit India untuk instrumen.



Naatu Naatu menampilkan rentak 6/8 yang popular dalam muzik India Selatan.

Dari sudut terma pula, Keeravani berkata, Naatu mempunyai maksud yang pelbagai, antaranya asli, tempatan, luar bandar, desa dan etnik.

“Sebetulnya, ia adalah rentak India Selatan, bukan India Utara. Dalam Naatu Naatu, rentak ini mengambil dimensi lain yang sangat jarang didengari di Barat. Jadi, itulah yang paling mendapat perhatian penonton di sana.

“Pendengar Naatu Naatu perlu lupakan segala-galanya, bukan hanya yang menonton filem itu. Watak daripada filem juga perlu lupakan perkara lain yang berlaku di sekeliling dan tumpukan perhatian terhadap lagu ini,” katanya



Mengulas mengenai kejayaan di Oscar Ke-95, Keraavani berkata, impian merangkul trofi emas itu sudah lama terpendam dalam hati.

“Saya membesar mendengar The Carpenters (duo vokalis mendiang Karen Carpenter dan Richard Carpenter) dan sekarang saya bersama Oscar.

“Hanya ada satu hasrat dalam fikiran saya, kami harus menang,” katanya.

Sementara itu, Chandrabose berkata, lirik ditulis berdasarkan kenangan zaman kanak-kanaknya di mana beliau menulis 90 peratus lagu itu dalam masa setengah hari.



Bagaimanapun, Chandrabose mengambil masa lebih setahun untuk menulis baki 10 peratus.

Januari lalu, Naatu Naatu memenangi kategori Lagu Terbaik, Anugerah Golden Globe Ke-80 selepas menewaskan Carolina dendangan Taylor Swift daripada filem Where the Crawdads Sing, selain lagu Ciao Papa nyanyian Alexandre Desplat, Roeban Katz dan Gullermo del Toro (Guillermo del Toro’s Pinocchio).

Naatu Naatu turut memusnahkan harapan lagu Hold My Hand dendangan Lady Gaga, BloodPop, Benjamin Rice (Top Gun: Maverick) dan Lift Me Up dendangan Tems, Rihanna, Ryan Coogler, Ludwig Göransson (Black Panther: Wakanda Forever). BH

Naatu Naatu cetus fenomena di Hollywood

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Perompak dan peraba kemaluan gadis penjual ketum diburu Polis [VIDEO]

Lelaki beri anjing makan roti sapu mentega cuit hati orang ramai [VIDEO]

Pengarah Mentega Terbang menghadap Bukit Aman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker