Perginya insan di belakang Messi

Perginya insan di belakang Messi
MESSI tiba di Tanah Perkuburan El Prado. FOTO Reuters

Rosario: Lionel Messi mengucapkan selamat tinggal buat bapanya, Jorge Messi, yang meninggal dunia pada usia 68 tahun selepas bertarung dengan kanser.

Ikon bola sepak Argentina dan pemenang lapan Ballon d’Or itu tiba di Argentina dengan penerbangan peribadi dari Miami lewat malam tadi bersama isterinya, Antonela Roccuzzo serta anak-anak mereka dan kini dikelilingi keluarga terdekat.

Upacara persendirian yang turut dihadiri beberapa rakan sepasukan Messi dalam skuad Argentina dijadual berlangsung di sebuah tanah perkuburan di bandar Perez, bersebelahan Rosario.

Di pintu masuk Tanah Perkuburan El Prado, peminat meninggalkan mesej sokongan selain jambangan bunga besar buat keluarga Messi.

Rakan sepasukan turut memberi sokongan kepada kapten Argentina itu selepas berita kematian Jorge diumumkan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040… Hala Tuju Pembangunan 15 Tahun


Pemain tengah Boca Juniors, Leandro Paredes berkata, kehadiran mereka di sisi Messi pasti memberi sedikit kekuatan kepadanya, manakala Rodrigo de Paul yang juga rakan rapat Messi dijangka ke Argentina.

De Paul turut memberi penghormatan selepas menjaringkan gol ketika Inter Miami tewas 1-2 kepada Monterrey dengan menanggalkan jersinya untuk menunjukkan jersi nombor 10 Messi.

Punca kematian Jorge tidak didedahkan, namun media tempatan melaporkan beliau sebelum ini menghidap kanser.

Ketidakhadirannya ketika Piala Dunia Jun lalu turut mencetuskan perhatian, menyebabkan keluarga Messi meminta media memberikan ruang dan ‘kemanusiaan’ susulan spekulasi mengenai kesihatannya.

Messi yang kini berusia 39 tahun turut pernah mengakui melalui ‘situasi di luar sukan’ ketika kejohanan berkenaan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Reezal Merican Semarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang, Perkukuh Patriotisme

Jorge adalah individu penting dalam perjalanan karier anaknya apabila menjadi jurulatih pertama Messi ketika dia baru berusia empat tahun.

Seorang pekerja logam di Rosario, Jorge menguruskan pasukan remaja kelab tempatan Grandoli dan memperkenalkan Messi kepada bola sepak di padang kosong tempat kanak-kanak bermain.

Kehidupan keluarga itu berubah pada 2000 apabila Barcelona menjemput Messi yang ketika itu berusia 13 tahun ke Sepanyol untuk meneruskan rawatan masalah kekurangan hormon pertumbuhan selain menyertai akademi kelab berkenaan.

Jorge meninggalkan pekerjaan, isteri dan tiga lagi anaknya di Argentina untuk menemani Messi di Barcelona.

Jorge kemudian menjadi ejen kepada anaknya dan menguruskan rundingan kontrak bernilai tinggi sepanjang karier Messi, termasuk ketika bersama Barcelona, Paris Saint-Germain dan Inter Miami.

Ucapan takziah turut mengalir daripada dunia bola sepak, manakala Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengarahkan seminit bertafakur dan pemakaian lilitan hitam sebelum perlawanan di semua peringkat sepanjang minggu ini.

DISYORKAN UNTUK ANDA :

 

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

21 Kerusi BN Melaka Harus Dipertahankan Atas Amanah – Nurul Amirah

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker