IAME Series Asia pentas bertaraf dunia

IAME Series Asia pentas bertaraf dunia
IAME Series Asia berjaya tarik penyertaan 121 pelumba dari 15 negara ke Litar LYL. -FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Kehadiran juara dunia IAME, Aaron Garcia dari Sepanyol, pada Pusingan 5 Infinity IAME Series Asia 2026 di Litar Antarabangsa LYL Karting membuktikan kejohanan itu semakin menghampiri tahap persaingan bertaraf dunia.

Pengarah Eksekutif Infinity IAME Series Asia, Daniel Ling berkata, saingan kali ini menjadi antara perlumbaan terbesar dianjurkan pihaknya apabila 121 pelumba dari 15 negara turun berentap, sekali gus memperlihatkan peningkatan taraf kejohanan di rantau Asia.

Menurutnya, kehadiran Garcia bukan sekadar menambah nama besar dalam senarai peserta, malah memberi peluang kepada pelumba lain untuk mengukur kemampuan mereka berdepan juara dunia dalam perlumbaan sebenar.

“Ini adalah perlumbaan terbesar buat kami setakat ini dan saya percaya ia juga adalah kejuaraan karting terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia. Apabila kita mempunyai juara dunia seperti Aaron, pelumba lain boleh menguji diri dan melihat sejauh mana tahap mereka,” katanya.

Saingan kategori senior menyaksikan pelumba Thailand, Toby Gale muncul juara, diikuti Dilan Tan dari Singapura di tempat kedua, manakala Garcia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Daniel turut melihat kemampuan bekas juara Malaysia, Travis Teoh yang mengejar Garcia dalam perlumbaan saringan sebagai petanda tahap pelumba tempatan semakin kompetitif, malah menghampiri standard dunia.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040… Hala Tuju Pembangunan 15 Tahun


Dalam masa sama, Daniel mahu peningkatan tahap IAME Series Asia disusuli usaha membina lebih ramai pelumba dari peringkat akar umbi menerusi program Kinex Rising Stars yang memberi peluang kepada peserta baharu menceburi perlumbaan kart dua lejang pada kos lebih rendah.

Katanya, program itu diwujudkan bagi membuka laluan kepada peminat karting riadah yang mahu beralih kepada perlumbaan kompetitif, terutama golongan muda yang berdepan kekangan kos untuk memulakan karier dalam sukan permotoran.

“Jika mengikut harga runcit, kos permulaan untuk kart dua lejang boleh mencecah sekitar RM30,000 hingga RM40,000. Jadi kami mahu mengurangkan halangan itu dengan menguruskan yuran penyertaan serta keperluan perlumbaan.

“Pada penghujung program, kami mahu membantu peserta dengan memberikan terus kart dan enjin kepada mereka,” katanya.

Daniel berkata, sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia turut membantu pihaknya memperluas program pembangunan akar umbi, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada bakat baharu untuk mendapatkan pengalaman perlumbaan kompetitif.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Reezal Merican Semarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang, Perkukuh Patriotisme

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kesinambungan sukan permotoran negara kerana Malaysia mempunyai kelompok bakat yang besar, dengan beberapa pelumba seperti Travis Teoh, Katrina Ee, Putra Adam dan Melvin Moh pernah membina asas melalui karting sebelum melangkah ke perlumbaan Formula dan GT.

“Kalau kita mahu melahirkan lebih ramai pelumba yang mampu ke peringkat Formula atau GT, kita perlu bermula dari bawah. IAME bukan hanya mengenai perlumbaan pada hari ini, tetapi bagaimana kita membina generasi pelumba untuk masa depan,” katanya.

DISYORKAN UNTUK ANDA :

 

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

21 Kerusi BN Melaka Harus Dipertahankan Atas Amanah – Nurul Amirah

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker