Skandal perlombongan pasir: SPRM geledah 6 lagi premis

Oleh – Syeikh Baran

Skandal perlombongan pasir: SPRM geledah 6 lagi premis

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggeledah enam lagi premis berhubung siasatan skandal rasuah perlombongan pasir yang dikaitkan dengan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).



Bagaimanapun, tidak didedahkan hasil penemuan penggeledahan di enam premis berkenaan yang membabitkan sebuah kediaman dan lima unit pejabat di sekitar Lembah Klang itu.

“Hari ini, enam premis lagi digeledah, tetapi ia bukan ‘safe house’… sebaliknya, sebuah unit kediaman dan lima unit pejabat di sekitar Lembah Klang.

“Semua premis yang digeledah tidak disita,” menurut sumber kepada BH.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan ahli perniagaan yang ditahan semula berhubung dakwaan skandal rasuah sama direman lima hari sehingga Ahad ini.



Terdahulu, ahli perniagaan itu dilapor ditahan semula SPRM selepas tempoh tahanan reman sejak Khamis lalu tamat hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut.

Suspek itu ditahan selepas disyaki menerima rasuah daripada syarikat lain selepas berjaya mendapatkan kontrak berkaitan dengan MBI.

Ahli perniagaan itu antara empat individu yang ditahan SPRM sepanjang minggu lalu berhubung siasatan skandal rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat badan pelaburan negeri berkenaan.



Tiga lagi membabitkan seorang bekas pekerja MBI berusia 45 tahun, selain seorang pemandu berusia 43 tahun dan seorang wanita yang juga bekas pegawai kewangan berusia 46 tahun yang didakwa terbabit dalam kes berkaitan konsesi perlombongan pasir itu.

Azam sebelum ini berkata seorang ahli politik dikaitkan dengan siasatan itu, namun beliau tidak mendedahkan namanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan ahli politik itu akan dipanggil selepas penyiasat mengumpul serta mengesahkan semua bukti diperlukan, termasuk dokumen dan wang.

Dalam serbuan Sabtu lalu, SPRM menjumpai SG$1.529 juta di sebuah lokasi yang dirujuk sebagai rumah selamat atau ‘safehouse’.



Dua hari kemudian, Azam memkalumkan pegawainya menemui dua lagi ‘safe house’ lain dengan satu daripada premis itu menempatkan wang tunai berjumlah kira-kira SG$74,000 iaitu RM243,000 mengikut kadar semasa.

Katanya, SPRM juga menemui kira-kira RM78,000 di pejabat lain, selain menerima maklumat yang sebahagian wang sudah dilaburkan di Singapura dan mungkin terdapat akaun lain di bank berbeza.

Beberapa kertas siasatan dibuka mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker