Dah enam bulan dia hilang, keluh suami yang setia menanti

Dah enam bulan dia hilang, keluh suami yang setia menanti

JOHOR BAHRU: Seorang suami setia menunggu isteri tercinta yang menghilangkan diri sejak 26 Disember tahun lalu pulang ke pangkuan keluarga.

Walaupun hampir enam bulan berlalu, Mohd Yusof Mokhtar, 35, yakin isterinya, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, akan pulang dengan selamat.

Menurut Mohd Yusof, pencarian isterinya masih diteruskan termasuk mendapatkan khidmat pakar perubatan Islam.

“Saya ada ikhtiar tanya ustaz yang pakar dalam perubatan Islam. Saya dimaklumkan, isteri saya memang mahu pulang, tetapi ada halangan. Katanya, seperti ada ‘seseorang’ yang memegangnya.

“Saya tahu isteri saya masih di dalam negara ini. Saya berharap sangat, jika benar ada orang yang ‘menyimpannya’ atau sesiapa yang jumpa dia, harap-harap mereka lembut hati lepaskan isteri saya, pulangkan dia kepada saya dan anak-anak,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Yusof berkata, anak sulung mereka berusia sembilan tahun sudah memahami kehilangan ibu mereka dan kerap termenung memberitahu rindu akan wanita itu.

Katanya, dua lagi anak mereka masing-masing berusia empat dan enam tahun masih belum mengerti dan menganggap ibu mereka yang bekerja sebagai seorang guru, keluar pergi ke sekolah.

Istiqomah didakwa tidak pulang ke rumah sejak 26 Disember lalu dan gagal dihubungi sehingga kini.

Mohd Yusof membuat laporan polis sejurus kehilangan wanita itu, sebelum keesokan harinya, kereta dipandu wanita terbabit ditemui di parkir sebuah pasar raya dekat Kota Masai, berhampiran rumah mereka.

Bercerita lanjut, Mohd Yusof berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan, kelihatan seorang lelaki keluar daripada kenderaan itu, sebaliknya kelibat isterinya tidak kelihatan.

“Saya tidak kenal lelaki itu, malah dia juga seolah menutup wajahnya sehingga sukar dilihat. Peliknya, hanya lelaki itu yang keluar daripada kereta isteri saya, tetapi isteri saya tiada,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pada hari kejadian, dia yang berkerja sebagai juruteknik di Pasir Gudang, keluar bekerja pada jam 6.30 pagi dan keadaan di rumah ketika itu seperti biasa.

“Ketika itu cuti sekolah, isteri saya tidak bekerja. Pagi itu, saya keluar kerja macam biasa, saya dan isteri juga tiada masalah. Kami bersalaman seperti biasa.

“Apabila saya pulang ke rumah jam 6 petang, isteri tiada di rumah. Dia juga tidak ada memberitahu saya dia ke mana. Apabila saya tanya anak saya, anak kata isteri saya pergi ke sekolah.

“Saya kemudian mencarinya di sekolah, namun pengawal keselamatan sekolah maklumkan isteri saya tidak ada pergi ke sana. Saya ada menghantar mesej kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp, tetapi mesej itu tidak sampai.

“Tiga hari pertama itu, dia ada hantar mesej, tetapi ayat mesej itu seperti bukan dia yang tulis. Lepas hantar mesej, sekejap sahaja, nanti telefon bimbit itu seperti ditutup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan mengenai laporan kehilangan wanita itu yang diterima pada 27 Disember 2023 pada jam 12.36 tengah malam.

“Sehingga kini siasatan masih dijalankan dan usaha mengesan wanita itu masih diteruskan,” jelasnya. BH

Dah enam bulan dia hilang, keluh suami yang setia menanti

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sambut ‘Birthday’ Zayn Rayyan di kubur, netizen rasa makin pelik (Video)

1 by 1: “Kalau tak mabuk itu orang mesti kena” – Anne singlet putih

Punca Hajar Aswad dicuri dan 30 ribu jemaah haji dibunuh

Kalau tak boleh gurau, duduk surau

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker