14 hari atau 14 bulan?
14 hari atau 14 bulan?
Oleh Hishamuddin Aun
Keyakinan ditunjukkan Hamzah Zainudin ketika umum surat arahan MPT kepada enam Ahli Parlimen Bersatu mungkin tidak bawa banyak makna.
Suka tengok Hamzah Zainudin atau ‘Mejah’ dalam loghat Perak sangat berkeyakinan ketika mengadakan sidang media berkaitan arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Jumaat. Yalah sebagai setiausaha agung parti, patutlah beliau tunjukkan keyakinan supaya apa saja
arahan dan makluman dapat disampaikan dengan jelas dan tegas.
Barangkali juga ia tersirat keyakinan bahawa enam Ahli Parlimen (MP) yang didakwa mengkhianati parti itu dengan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan dapat dikosongkan kerusi mereka kesudahannya dengan keenam-enamnya akan terperangkap dengan arahan terbaru berkenaan – sesuatu yang disifatkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini sebagai ‘strategi’ parti itu.
Siap ‘menyekolahkan’ wartawan dalam sidang medianya, Ahli Parlimen Larut itu menuntut media agar tidak meminda istilah digunakan parti itu dalam makluman rasminya. Sebarang pindaan atau penggunaan kata nama yang sama, dikhuatirinya akan membawa maksud berbeza atau menimbulkan kekeliruan pula. Jadi, ikutlah seperti yang dimaklumkan, katanya, tidak usah diubah-ubah.
“Saya sebut ‘terhenti’ tapi media suka sangat guna ayat yang lain. Saya maklumkan di sini at any one time bila saya beri penjelasan kepada media, saya gunakan ayat ini. Apabila mereka (wakil rakyat Bersatu) melanggar sesuatu perkara yang membabitkan Fasal 10.4 (Perlembagaan Bersatu), maka dia ‘terhenti’…ceased to be a member. Jadi, jangan guna ayat lainlah. FMT selalu guna ayat lain ni,” katanya.
Dua setengah bulan selepas Bersatu meminda perlembagaannya 2 Mac lalu, sidang media itu diadakan untuk memaklumkan keputusan MPT mengeluarkan arahan khusus menurut Fasal 10 (5) Perlembagaan Bersatu yang menghendaki semua Ahli Parlimen dan Adunnya mengakui menerima dan mengesahkan semua arahan parti dalam tempoh 14 hari.
“Kegagalan yang berhormat berbuat demikian akan menyebabkan keahlian yang berhormat dalam Bersatu ‘terhenti’ dengan serta-merta mengikut Fasal 10 (4) Perlembagaan Bersatu,” katanya sambil menambah jika keadaan itu berlaku, semuanya berkemungkinan besar perlu mengosongkan kerusi di bawah akta anti lompat parti sekali gus memberi laluan kepada PRK.
Surat arahan yang mempunyai lima arahan asas itu menghendaki wakil rakyat Bersatu sebagai ahli untuk mempunyai tanggungjawab di bawah parti iaitu setia dan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti khususnya termaktub bawah Fasal 9 (1).
Selain itu, wakil rakyat Bersatu – termasuk enam Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) selain Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari yang menyokong menteri besar Selangor — juga tidak menyertai kerajaan pimpinan Anwar dan tidak menyokong mana-mana menteri besar, ketua menteri, atau kerajaan negeri yang dipersetujui Bersatu.
“Ia juga melibatkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan serupa dalam perlembagaan negeri bagi menghalang perbuatan lompat parti yang telah dipermainkan oleh wakil rakyat yang bersikap ‘selingkuh’ dengan menukar atau memberi sokongan kepada pihak lawan tanpa melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi ahli parti. Hal ini memperlekehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan serupa dalam perlembagaan negeri-negeri.
“Khusus (wakil rakyat) sokong sebelah sana, ada arahan tambahan kita berikan kepada mereka. Mereka tahu dan rakan media boleh tanya mereka apa arahan khusus saya sebagai setiausaha agung berikan,” tambahnya tanpa menghuraikan arahan berkenaan.
Cuma bezanya akta anti lompat parti hanya memberi kesan kepada Ahli Parlimen yang membuat tindakan lompat parti atau keluar daripada partinya sendiri. Akta itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada Ahli Parlimen yang dipecat parti. Tiada dalam mana-mana undang-undang itu yang menyatakan mengenai Ahli Parlimen yang ‘terhenti’ daripada menjadi ahli parti yang mendedahkan ia kepada pelbagai tafsiran.
Disoal wartawan apakah ‘terhenti’ bermaksud digantung atau dilucutkan keahlian, Mejah seperti tercari-cari jawapan: “Terhenti maknanya dah tak ada la. Dia bawa kereta sampai situ pup berhenti. Stop. Tak adalah lagi. Tadi kita dah bagi seorang yang berhormat, Radzi Jidin. Kita dah bagi dia surat ni tadi. Dia dah sign menerima semua arahan tu dia buat, maknanya dia tak terhentilah. Maknanya dia ahli yang baik, mengikut arahan.”
Ditekan adakah surat arahan MPT itu menjadi satu peluang kepada enam MP berkenaan khususnya untuk tarik balik sokongan kepada kerajaan, Mejah seperti menahan dirinya daripada naik angin: “Dia baca surat tu, dia faham dan dia tahu apa yang patut dilakukan. Tak usah tanya saya sebab saya tak tahu apa dia nak buat. Tanyalah dia apa dia nak buat. Tanya saya nak buat apa. Saya hanya berikan arahan.”
Tapi Mejah pun harus tahu arahan MPT Bersatu itu tidak akan terlaksana semudah diharapkannya kerana ada proses tertentu yang perlu dilalui. Selepas tempoh 14 hari yang diberikan luput – tanpa mengira wakil rakyat Bersatu yang disasarkan menjawabnya atau tidak – parti itu perlu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuknya membuat keputusan berhubung mana-mana ahli yang dimohon untuk dilucutkan kelayakannya.
Sudah pun ada duluan dalam kes Ahli Parlimen Bersatu dari Sabah sebelum ini yang menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2022. Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor ketika itu mengumumkan beliau bersama empat yang lain — Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Matbali Musah (Sipitang) dan Jonathan Yasin (Ranau) — meninggalkan Bersatu untuk menyertai GRS. Berikutan itu, Johari menolak permintaan Bersatu, sebaliknya membenarkan empat Ahli Parlimen dari Sabah itu mengekalkan kerusi Parlimen masing-masing.
Bersatu selepas itu mengambil tindakan undang-undang untuk Johari mengisytiharkan kerusi empat Ahli Parlimen itu kosong tapi ia ditolak Mahkamah Tinggi yang menyebut ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa keputusan speaker sama ada wujud kekosongan tidak boleh diadili bawah Perkara 6(1) Perlembagaan.
Pada 17 Nov 2023, Bersatu memfailkan rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keputusan Johari untuk tidak mengisytiharkan kerusi empat Ahli Parlimen Sabah itu kosong. Mahkamah Rayuan bagaimanapun masih belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan sehingga kini.
Menyusuli surat arahan terbaru MPT itu, Suhaili adalah yang pertama memberi reaksi dengan mengulangi pendirian terus menyokong pentadbiran Anwar di samping menyatakan apa pun arahan tidak menggoyahkan pendiriannya. Beliau juga enggan mengosongkan kerusi Parlimen Labuan seperti dituntut Bersatu dalam arahan tambahan khas. Ini disusuli pula oleh Syed Hussin semalam yang menyifatkan surat arahan Bersatu itu tidak bermakna.
“Saya dah pun terima surat berkenaan, tiada apa-apa makna dan saya tak akan jawab. Saya nak tunggu apa tindakan mereka (selepas 14 hari) dan jika berlaku PRK pun, saya akan turun bertanding. Apa yang saya buat adalah mahu menunjukkan tindakan mereka itu tak betul, merosakkan fikiran rakyat dan mengganggu Ahli Parlimen menjalankan tugas,” katanya dipetik Berita Harian.
Nampaknya keadaan akan kekal status quo seperti sebelum arahan MPT itu dikeluarkan. Enam MP dan seorang Adun itu tidak akan mengubah pendirian mereka. Kata dua 14 hari yang diumumkan Mejah boleh berlanjutan 14 bulan atau lebih untuk penyelesaian diperoleh andainya seperti kes empat Ahli Parlimen Bersatu dari Sabah itu berlanjutan ke mahkamah. FMT
14 hari atau 14 bulan?
Baca Artikel Menarik:
- Kronologi serang Balai Polis Ulu Tiram, dua pelajar IPT turut ditahan
- Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram ahli Jemaah Islamiyah
- Jangan cuba ganggu UiTM – Dr Akmal
- Doktor pun mengadu letih
- Ini jumlah diterima Ronaldo bagi setiap hantaran di Instagram
- Kulit kami gebu sebab laksa Sarawak – Sharifah Zarina
- Ambil nyawa sayalah – Dr Akmal (Video)
- Polis mula siasatan resit pesanan persenda Islam
- Kedah tak dipaksa pun jadi miskin
- Ibu bapa sediakan 10 gelang emas sebagai hadiah Hari Guru
- Status anak Halim Othman, ini kata JPN
- Terpaksa layan nafsu 35 lelaki sehari
- Sejarah hitam bakal suami Ayu Ting Ting
- Solat 17 rakaat sehari – 3,750 gerakan sebulan, 42,840 gerakan setahun
- Individu yang mahu sembelih ibu bapa Naim Daniel dikenalpasti polis
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
TMJ nafi jadi dalang, seru semua pihak bersatu melawan keganasan
Ini modus operandi Rasulullah ke? Aqasha bersuara pasal #Blockout2024
You must be logged in to post a comment.