Lee Zii Jia tekad bawa pulang emas Olimpik Paris 2024

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menetapkan sasaran untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Bekas juara Seluruh England itu menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki yang berjaya layak ke temasya di Paris menerusi senarai akhir yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

“Secara jujurnya, bukan cakap saya sombong atau apa…sasaran saya bukan untuk layak ke Olimpik tetapi sasaran saya adalah untuk memenangi Olimpik.

“Saya tahu saya ada potensi untuk menang. Namun, saya sedar saya masih bergelut dengan prestasi (tidak menentu).

“Sebab utama saya tidak meraikannya (layak ke Olimpik) adalah seperti yang saya katakan, sasaran utama adalah untuk memenangi Olimpik, bukannya layak,” kata Zii Jia menerusi rakaman suara yang dikongsikan menerusi Twitter rasmi Team LZJ, semalam.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut Zii Jia layak ke pentas Olimpik selepas membuat kemunculan sulung di Olimpik Tokyo 2020.

Di Tokyo, cabaran Zii Jia berakhir di pusingan 16 terbaik selepas tewas di tangan bintang China, Chen Long dalam pertarungan tiga set 21-8, 19-21, 5-21.

Selain Zii Jia, empat lagi wakil negara turut mengesahkan tiket ke Paris – perseorangan wanita, Goh Jin Wei; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Menurut Zii Jia, yang menduduki ranking ke-10 dunia, layak buat kali kedua ke Olimpik adalah satu pencapaian besar buat dirinya sekali gus menjadi pemain perseorangan lelaki Malaysia yang kedua selepas bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang layak lebih daripada sekali ke temasya terbesar dunia berkenaan.

Chong Wei empat kali layak ke Olimpik bermula di Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

“Dalam proses kelayakan ini, saya dapati ia bukanlah perkara mudah. Macam Ng Tze Yong (pemain perseorangan lelaki kedua negara), dia sedikit lagi boleh layak tetapi selepas alami kecederaan (belakang), terus habis.

“Secara jujurnya, saya kesian dengan Tze Yong tetapi saya beritahu dia untuk tidak beri tekanan kepada diri sendiri dan terlalu banyak fikir negatif. Saya boleh bermain dua kali di Olimpik.

“Selepas Chong Wei, saya pemain yang berjaya bermain lebih daripada sekali. Saya beritahu kepada diri sendiri, ini adalah pencapaian yang besar.

“Walaupun belum menang pingat lagi tetapi ini adalah sesuatu yang positif untuk meningkatkan lagi tahap keyakinan saya.

“Kita pun tidak tahu sama ada saya boleh bersaing di Olimpik lagi selepas ini tetapi ini adalah kejohanan terbesar untuk semua atlet. Saya harap bebas daripada kecederaan dan berada pada tahap terbaik untuk bersaing di Olimpik kali ini,” katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara perseorangan lelaki di Olimpik adalah menerusi Chong Wei di Rio de Janiero pada tahun 2016.

Pada edisi di Tokyo, Aaron-Wooi Yik mencipta kejutan pada penampilan sulung mereka apabila berjaya membawa pulang gangsa.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ini sebab mengapa lelaki jadi Puntianak berkeliaran di sekitar Banda Hilir Melaka

Cuaca terlampau panas, penduduk buat eksperimen goreng telur [VIDEO]

Pengganti Chong Wei, Nicol dan Azizulhasni ada di sekolah rendah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker