Saya akan cabar di mahkamah – MP Gua Musang

Saya akan cabar di mahkamah – MP Gua Musang

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menegaskan beliau sedia mencabar keputusan pindaan perlembagaan BERSATU yang dibuat melalui Mesyuarat Agung Khas parti itu semalam sekiranya ia diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mengulangi pendirian untuk terus kekal menyokong pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mengakui keputusan dibuat pindaan Perkara 10 itu membabitkan undang-undang besar, lantas perlu dirujuk ke mahkamah.



“Sekiranya ia diluluskan oleh ROS, saya sendiri akan mencabar perkara itu di mahkamah,” katanya ketika dihubungi.

Pindaan Perkara 10 Perlembagaan BERSATU yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Khas BERSATU menyatakan keahlian mana-mana wakil rakyatnya akan terlucut serta-merta jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Sehubungan itu, enam kerusi Parlimen milik wakil rakyat BERSATU perlu dikosongkan sekiranya mereka kekal dengan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Mohd Azizi menegaskan beliau tidak terkesan dengan keputusan dibuat BERSATU menerusi Perhimpunan Agung Khas semalam kerana ia adalah hak parti.



“Apa pun pendirian saya tetap sama akan terus menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya hanya sokong, bukannya saya lompat parti dan apa yang saya lakukan demi pengundi saya di Gua Musang,” katanya.

Pada masa sama, Azizi menyifatkan keputusan pindaan perlembagaan BERSATU itu sekadar bertujuan untuk mengugut Ahli Parlimen parti yang lain supaya tidak berbuat tindakan sama iaitu menyokong Perdana Menteri.

“Sebenarnya ramai lagi Ahli Parlimen BERSATU yang sedang tunggu giliran untuk mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mereka hanya menunggu masa yang sesuai.

“Malah, perkara ini juga sudah diketahui oleh kepemimpinan BERSATU, menyebabkan pindaan Perkara 10 dibuat kerana bimbang lebih ramai berbuat sedemikian,” katanya.



Mohd Azizi berkata, beliau akan mengikut perkembangan pindaan berkenaan dan yakin perkara itu akan mengambil masa sebelum keputusan dibuat ROS.

Semalam, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan BERSATU akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Beliau berkata, jika mereka kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, yang mana kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Selain Mohd Azizi, lima lagi Ahli parlimen itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). BH



Saya akan cabar di mahkamah – MP Gua Musang

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

30 ekor gajah datang berkunjung



Johan gosok baju saya – Ozlynn

Bekain pemain Arsenal Podolski kini jutawan kebab, ais krim



Umpama kembar ‘Ronaldo’ jadi perhatian ramai

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker