Jangan biar saya mati macam P Ramlee
Jangan biar saya mati macam P Ramlee
Bintang tersohor Sudirman Arshad pernah dibelenggu kebimbangan seandainya menemui ajal dalam keadaan tragis dengan bergelumang hutang dan kemiskinan.
Beliau juga amat bimbang apa yang akan berlaku, sekiranya tidak lagi mampu membuat persembahan pada usia senja.
Pada April 1987, Sudirman berusia 33 tahun dan berdepan keadaan kewangan tidak stabil, selain baru “berpisah” dengan pengurusnya yang terkenal, Mike Bernie Chin.
Keadaan ketika itu amat menduga bagi Sudirman dan beliau terdesak mencari seseorang untuk menjadi pengurusnya.
Pilihannya memang tidak disangka-sangka: Daniel Dharanee, jurutera audio berusia 22 tahun yang sering terlibat dengan konsert Sudirman dan nama besar lain di bawah naungan Mike Bernie Entertainment.
Dharanee berada di sisi bosnya itu tanpa mengira waktu susah atau senang.
Kini, pada ulang tahun ke-32 kematian bintang legenda itu, Dharanee berkongsi beberapa kisah peribadinya selama lima tahun mengiringi Sudirman.
Sudirman, bintang kelahiran Temerloh yang juga dikenali sebagai penghibur rakyat, menghembuskan nafas terakhir pada 22 Feb 1992 ketika berusia 37 tahun, selepas terlantar sakit hampir tujuh bulan.
Pada Mac 1987, Chin memberitahu media beliau menganggap Sudirman tidak boleh diuruskan dan meletak jawatan sebagai pengurusnya.
“Beliau tidak menghormati kedudukan saya sebagai pengurus, dan saya berdepan karut ini dari semasa ke semasa selama dua tahun,” katanya ketika itu.
Sudirman membalas: “Saya tidak khianati orang yang tolong saya. Saya ada sebab tersendiri membiarkan keadaan seperti ini.”
Dharanee berkata, kemelut antara Sudirman dan Chin menggemparkan industri hiburan tanah air dan beberapa nama besar berminat menggantikan tempat Chin, termasuk Bakar Brothers, iaitu adik-beradik Ali dan Aziz Bakar yang mengendalikan Showmasters, serta penulis lirik terkenal, Habsah Hassan.
Namun, tugas itu akhirnya diserahkan kepada Dharanee pada 15 April, dengan gajinya ialah 15% bersih daripada pendapatan keseluruhan artis itu.
Dharanee berkata, Sudirman memberitahunya: “Kamu muda dan bercita-cita, dan saya suka etika kerja kamu. Sertai saya dan kita buat perancangan untuk babak seterusnya kerjaya saya.”
Katanya, Sudirman mengakui dirinya dibelenggu hutang, tetapi merayunya dengan berjanji akan bekerja keras untuk menjadikan keadaan lebih stabil dan meminta bantuannya untuk mencapai matlamat itu.
Menurutnya, Sudirman menanggung semua liabiliti daripada akaun terdahulunya dengan Mike Bernie Entertainment dan berazam melunaskan semua tunggakan itu.
Sudirman kemudian menjadi penghibur “live” paling popular selepas dinobatkan artis paling popular selama tujuh tahun berturut-turut, baik dalam media berbahasa Melayu mahupun Inggeris. Jadualnya memang padat dengan tujuh persembahan bagi dua minggu terakhir April, lapan pada Mei dan tempahan sehingga Disember tahun itu.
Dharanee menerima tugasan itu dan menjadi pendengar setia luahan hati Sudirman. Beliau memetik perbualan mereka dalam penerbangan ke Pulau Pinang, di mana Sudirman menyuarakan kebimbangan menghantuinya.
Katanya, penyanyi itu mengakui: “Saya kini berhutang. Saya tidak mahu mati dalam keadaan miskin atau berhutang. Tolonglah pastikan itu tidak berlaku.
“Janganlah biarkan saya mati dalam keadaan seperti P Ramlee dan Saloma, idola dan inspirasi utama saya. Mereka tidak lagi dikenang. Tiada siapa peduli sumbangan mereka.”
Dharanee berkata, P Ramlee mungkin miskin ketika hayatnya, tetapi meninggalkan legasi tidak ternilai buat negara yang tidak dapat dihitung dengan wang. Sudirman pula, katanya, tidak miskin ketika menghembuskan nafas terakhirnya.
“Hartanya termasuk kilang di Melaka yang menghasilkan minuman Sudi, Sudi Shoppe dan pelbagai perniagaan lain, bernilai kira-kira RM300 juta pada 1990.”
Sudirman ketika melakukan ujian suara di Royal Albert Hall bersama Dharanee (kiri) dan Michael Veerapen, yang mencipta lagu ‘A Thousand Million Smiles’.
Bimbang tak mampu ligat di pentas lagi
Pada 1989, artis yang pernah menjadi peguam itu ke London sebagai “underdog”, namun beliau muncul wira negara dengan gelaran “Penghibur Terbaik Asia” di Royal Albert Hall.
Beliau artis kedua negara yang meraih gelaran sebesar itu dalam dunia hiburan Asia, selepas P Ramlee dinobatkan “Pelakon Terbaik” menerusi Festival Filem Asia Tokyo keempat pada 1957.
Sehari selepas kemenangannya di London, Sudirman membawa anak saudaranya, Atai bersama Dharanee untuk percutian tujuh hari di Lake District, Cumbria, di mana penyanyi itu membeli sebuah rumah.
“Sudirman sangat gembira ketika itu, tetapi sering bimbang umurnya tidak panjang. Beliau risau tidak mampu terus memberikan persembahan unggul dan ligat atas pentas pada usia 50-an atau 60-an.
“Beliau terfikir apa yang akan dilakukannya jika tidak dapat membuat persembahan lagi,” kata Dharanee yang kemudian mencadangkan Sudirman membina akademi seni persembahan sebagai legasinya.
“Beliau suka idea itu, malangnya beliau ‘pergi’ terlalu awal.”
Hari ini, Dharanee, 61, bakal menubuhkan akademi bagi mencari bakat muzik di Asia Tenggara, selain sedang menulis buku berdasarkan penghibur tersohor Asia itu yang pergi sebelum sempat dikenali dunia.
Orang sudah tak kenal, tak peduli
“Sejak pemergian Sudirman, legasinya tidak berkembang. Rakyat bukan saja melupakannya, malah tidak peduli lagi siapa dia.
“Kita gagal meraikan wira-wira negara seperti Sudirman yang memainkan peranan begitu penting dalam arena muzik tanah air. Generasi muda membesar tanpa mengenali beliau yang berjaya merentasi sempadan kaum dan agama.
“Jika kita benar-benar prihatin, pasti ada muzium, perpustakaan, laman web dan macam-macam lagi yang menyediakan maklumat mengenai pencapaian orang hebat dalam bidang muzik dan sukan, yang begitu banyak menyumbang ke arah pembangunan negara serta perpaduan.
“Inilah namanya kuasa lembut dan pengaruh budaya popular terhadap orang ramai. Bagaimana kita mahu maju jika tidak tahu sejarah?”
Dharanee teringat Sudirman pernah memintanya meletakkan anugerah dimenanginya di pusaranya.
“Beliau kata hargailah orang ketika mereka masih hidup, bukan selepas mereka pergi.” FMT
Jangan biar saya mati macam P Ramlee
Baca Artikel Menarik:
- Pemandu dipukul mati selepas kemalangan, 5 lelaki ditahan
- Rakyat Palestin diancam kebuluran
- Mahathir cari alasan, sedar dosa hilang wilayah tak boleh dimaaf
- Cuba kau pegang kepala, bukan ekor – Netizen
- Apakah krisis dalam LTAT?
- Sarawak berkabung 2 hari atas pemergian Taib
- Surat Lembaga Pengampunan tentang Najib bukan sulit – Shafee
- Isteri Daim ahli parti Muda
- Wajah Munkar dan Nakir ketika menyoal di dalam kubur
- 3 beranak ditemui mati tergantung di kipas, suami ditahan
- Kerajaan 9 Mawla Amin dipantau PDRM
- Remaja pandu pikap ‘Transformers’ seludup ketum
- Ini sebab Pierre Andre sudah 10 tahun hidup tanpa telefon
- Fatiya Latiff beri syarat berhenti ganggu Aiman Hakim
- Mengalahkan PMX Cik B punya bodyguard
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.