‘Lucy’ tetap sambut Tahun Baru Cina bersama ‘Wan Ismail Golok’
Memeluk Islam pada 26 September tahun lalu sebelum menikahi teman baik, iaitu pengarah dan pelakon, Sabri Yunus, kira-kira tiga minggu kemudian, aktres popular yang dulu dikenali sebagai Lucy atau kini dikenali sebagai Ardini Angeline, 57, meneruskan tradisi meraikan Tahun Baharu Cina bersama dua anak hasil perkahwinan terdahulu.
Bagi Ardini, biarpun kehidupannya kini berubah, di bawah bimbingan suami tercinta yang melimpahi dirinya dengan kasih sayang, beliau tidak melupakan tradisi kaum Cina setiap kali menyambut tahun baharu dalam kalendar lunar
Popular dengan watak Lucy dalam siri sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, bagi Ardini, inilah masa untuk dirinya dan dua anak yang masing-masing sudah memiliki kehidupan sendiri, merapatkan hubungan, apatah lagi, sepanjang tahun lalu, banyak perubahan berlaku dalam hidupnya.
“Disebabkan abang Sabri ada penggambaran di luar daerah, jadi, malam tadi, saya makan malam bersama anak-anak. Mereka pilih restoran dan kami luangkan masa bersama.
“Saya pula sibuk dengan kerja, jadi, tidak sempat sediakan makanan. Saya minta anak-anak pilih restoran untuk kami makan malam bersama sempena sambutan Tahun Baharu Cina
“Sambutan Tahun Baharu Cina tiada kena mengena dengan agama. Anda tidak boleh kata, apabila saya memeluk agama Islam, saya kena buang semua budaya saya,” katanya kepada BH Online.
Ardini berkata, Sabri tidak menghalang beliau meraikan Tahun Baharu Cina bersama anak dan mereka menjaga silaturahim, walaupun berbeza agama.
“Mengapa dia mahu membantah saya sambut Tahun Baharu Cina dengan anak-anak saya? Seperti ramai orang Cina yang bukan mualaf berkawan dengan orang Melayu, mereka turut berpuasa dan meraikan hari raya.
“Jadi, kita sebagai orang Malaysia, kita sudah faham mengenai budaya di negara kita. Sebab itu, tiada masalah untuk kita sama-sama meraikan perayaan yang ada di Malaysia,” katanya.
Anak sulung Angeline iaitu seorang lelaki, berusia 33 tahun manakala anak keduanya 30 tahun. Anak sulungnya sudah mendirikan rumah tangga, manakala anak kedua masih bujang.
Bagaimanapun, Angeline enggan berkongsi lebih lanjut mengenai kedua-dua anaknya kerana lebih selesa menjaga privasi.
Ardini yang pernah membintangi filem Duan Nagho Bogho memberitahu, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini membawa simbol kekuatan dan karisma, selain sifat kreativiti dan keyakinan sempena tahun naga.
“Tahun Baharu Cina adalah acara yang menggembirakan bagi semua orang Cina yang percaya kedatangan tahun baharu membawa sinar dalam kehidupan. Orang Melayu ada kalendar Islam, tapi masyarakat Cina percaya kepada kalendar lunar.
“Mengikut kalendar lunar, tahun ini adalah tahun naga. Kami sama-sama meraikan kedatangan permulaan baharu dengan semangat dan wawasan yang lebih segar.
“Pada tahun baharu ini, kami lebihkan bercakap perkara-perkara yang baik dan membahagiakan,” katanya.
Justeru, dengan kehadiran tahun naga. Ardini mengharapkan hanya perkara positif hadir dalam hidupnya.
“Setiap tahun kita mengharapkan tahun yang baik buat kita. Saya percaya tiada tahun pun yang Allah berikan kepada kita yang membawakan makna tidak baik.
“Jadi, kita mesti sentiasa positif dan nikmati setiap hari serta bersyukur dengan apa yang kita ada,” katanya.
Bagi meraikan tahun naga, Ardini yang berasal dari Kuala Lumpur, bagaimanapun membuat persiapan sederhana, termasuk persalinan. Baginya, biarpun tidak berhabisan membuat persiapan, sambutan tetap bermakna selagi bersama keluarga.
“Saya tiada masa hendak membeli-belah sebab bekerja setiap hari hingga Khamis lalu. Malah, banyak baju saya yang belum dipakai. Itu boleh dikatakan baju baharu, jadi, tak perlulah membeli.
“Soal makanan, saya tidak kisah. Apa yang lebih saya titik beratkan adalah waktu bersama keluarga,” katanya.
Memasuki tahun baharu kalendar lunar, hari ini, tahun naga dianggap antara detik yang paling diraikan. Mengikut ilmu warisan masyarakat Cina kuno, feng shui, tahun ini bakal membawa perubahan besar kepada masyarakat.
Tahun naga dalam kalendar zodiak Cina dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan.
Ardini dan Sabri bernikah pada 14 Oktober lalu dengan sekali lafaz pada majlis tertutup di Kangar, Perlis. Mereka dinikahkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Ardini dan Sabri dikenali menerusi sitkom arahan Othman Hafsham, Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Sabri sebelum ini kehilangan isteri, Allahyarham Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Kahwin senyap-senyap, satu sen hartaku tak akan dapat
- Tak suruh cerai pun – Abby Abadi
- Mayat pekerja ladang hilang ditemui dalam perut buaya
- Curi motosikal di kampung boleh didakwa, takkan orang tua curi berbilion tak boleh?
- Petisyen enakmen jenayah syariah, ini penjelasan Ketua Hakim Negara
- Kerajaan Kelantan tewas, 16 peruntukan enakmen syariah Kelantan dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan
- Kereta menteri ikut rapat ambulans, pemandu disoal siasat Polis
- Kumpul dokumen harta 43 tahun, Mokhzani dan Mirzan mahu SPRM bersabar
- Anak pemimpin politik didakwa lakukan amang seksual
- Daim disyaki ada banyak lagi harta belum diisytihar – SPRM
- Elvina Mohamad kena tindih
- Mikail Ghazali ikut langkah Johan Ghazali
- Reaksi Abby Abadi mengenai pernikahan Marissa di Thailand
- Peguam Najib dedahkan Lembaga Pengampunan dan Agong berbeza pendapat
- Kenyataan Hadi penuh bongkak, sombong – Saifuddin
Layari Laman Facebook MYKMU.NET