Peguam Najib dedahkan Lembaga Pengampunan dan Agong berbeza pendapat

Surat yang mempunyai cap mohor yang di-Pertuan Agong sebelum ini menunjukkan kemungkinan wujud perbezaan pendapat antara Seri Paduka dan Lembaga Pengampunan berkaitan hukuman Najib Razak.

Surat itu dibacakan oleh peguam Najib, Shafee Abdullah, hari ini yang mendedahkan Lembaga Pengampunan tidak menasihat Agong mengurangkan hukuman bekas perdana menteri itu.

Shafee berkata, pengumuman dalam surat itu dibuat oleh menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa.



Katanya, ia menyebut bahawa Lembaga Pengampunan, berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, pada 29 Jan menasihati Agong supaya Najib meneruskan baki hukuman.

Bagaimanapun, kata Shafee, surat itu juga menyebut titah Agong bahawa “adalah munasabah pada hemat beta, belas kasihan patut diberi kepada Najib.”

Surat itu mengandungi perintah Al-Sultan Abdullah yang menjalankan kuasa baginda bawah Perkara 42 serta kuasa-kuasa lain, supaya hukuman terhadap Najib dikurangkan separuh dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Perkara 42 berkaitan kuasa pengampunan dan kuasa membentuk Lembaga Pengampunan.



Shafee berkata surat yang ditandatangani oleh Zaliha itu diterima oleh Najib sebagai pihak terlibat.

Bagaimanapun peguam itu menyatakan keraguan sama ada surat itu ditulis pada 29 Januari, hari Lembaga Pengampunan memutuskan permohonan Najib.

Dia membayangkan ia ditulis selepas Bahagian Undang-undang mengeluarkan kenyataan yang mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan pada 2 Feb.

Katanya surat itu tidak mengandungi kesilapan seperti kenyataan 2 Februari – yang antaranya menyebut Najib memperoleh pengurangan denda sebanyak 50 peratus.



Terdahulu dalam sidang akhbar, Shafee membayangkan Al-Sultan Abdullah mahu memberikan pengampunan penuh kepada Najib.

“Saya diberitahu dan saya yakin ia berlaku.

“Jika tidak saya tidak berani beritahu kamu, bahawa 29 Jan, Yang di-Pertuan Agong memikirkan untuk memberikan pengampunan penuh.

“Tetapi baginda mahukan kepastian,” dakwa Shafee.



Dia mendakwa Agong kemudian memberikan kertas undi kepada “empat” anggota tidak tetap Lembaga Pengampunan supaya menjawab soalan sama ada pengampunan penuh patut diberikan.

Lembaga itu sepatutnya hanya mempunyai tiga anggota tidak tetap, di samping Agong, peguam negara dan menteri Wilayah Persekutuan.

Shafee kemudian berkata dia tidak tahu keputusan undian itu tetapi ia kemudian membawa kepada keputusan hukuman Najib diringankan, tanpa pengampunan.

Katanya, perkara itu menunjukkan Agong mempunyai hak mutlak untuk memutuskan pengampunan tetapi baginda memilih untuk mendengar pandangan pihak lain.



Shafee juga mendedahkan bahawa Najib mempertimbangkan untuk membuat permohonan pengampunan baru bagi mendapatkan pembebasan.

Pengkritik berpendapat Najib tidak layak mendapat belas ihsan manakala penyokongnya pula mengharapkan “Bossku” mendapat pengampunan penuh.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Skandal Spanco, siapa terbabit?

Cikgu Fadli bersara kerana tak mahu jadi tetamu biadab

Memang kami lepak dengan Hot Daddy

Saharul Ridzwan jual rumah pula

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker