Percanggahan dakwaan 120 SD

Percanggahan dakwaan 120 SD

Pemerhati politik berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas seorang penulis blog mendakwa bahawa pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 akuan berkanun (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Noor dilaporkan hari ini mendakwa bahawa “sudah cukup SD” dikumpulkan, dan pembangkang hanya menunggu hari untuk mengumumkannya.



Bagaimanapun, semakan terhadap dakwaan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin – dan dokumen yang dipegangnya – mendapati terdapat percanggahan yang menjadi persoalan.

Apa yang ditunjukkan oleh Raja Petra?

Dalam video yang disiarkannya pada hari Jumaat, Raja Petra mengangkat tiga keping kertas.

Dua keping kertas pertama didakwa sebahagian daripada senarai lima muka surat ahli parlimen yang telah menarik balik sokongan terhadap Anwar.



Pemerhatian lebih teliti pada dua muka surat itu menunjukkan bahawa ia adalah senarai semua 222 ahli parlimen.

Terdapat enam ruangan pada setiap muka surat iaitu negeri, kawasan pilihan raya, nama, parti gabungan, “setuju”, dan “tolak”.

Di bawah dua lajur terakhir, pilihan ahli parlimen dinyatakan dengan menyerlahkan sama ada lajur ‘setuju’ atau ‘tolak’ berwarna putih, manakala lajur yang satu lagi dikelabukan.

Sementara itu, sekeping kertas ketiga mengandungi jumlah penyokong SD yang dikatakan.



Berapa jumlahnya?

Menurut kertas ketiga yang ditunjukkan oleh Raja Petra, penyokong SD termasuk 14 daripada BN (Umno 11, MCA 2, MIC 1).

Senarai yang dikatakan itu juga mendakwa Muda, GPS, PBM, GRS, Warisan, dan tiga lagi Ahli Parlimen Sabah akan turut menyokong kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Selanjutnya senarai itu mendakwa bahawa tiga daripada lima Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar telah menarik balik sokongan mereka, menjadikan pembangkang dikatakan mempunyai sokongan 123 ahli parlimen.



Siapa sebenarnya yang berpaling tadah?

Walaupun keseluruhan senarai 123 ahli parlimen yang didakwa telah menandatangani SD tidak tersedia, terdapat gambaran dari dua helai kertas pertama yang ditunjukkan oleh Raja Petra.

Senarai di sebelah kiri skrin adalah untuk Perlis, Kedah, Terengganu, dan sebahagian senarai untuk Pulau Pinang.

Bagaimanapun ia tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam sokongan masing-masing.



Sementara itu, halaman di sebelah kanan skrin lebih sukar dibaca tetapi dipercayai menunjukkan sebahagian senarai Johor, serta Sabah.

Daripada senarai itu sekurang-kurangnya seorang ahli parlimen BN Johor didakwa menyokong pertukaran kerajaan mengikut senarai yang ditunjukkan.

Walau bagaimanapun, lebih ketara, bagi ahli parlimen Sabah, ketiga-tiga ahli parlimen Warisan – yang partinya berkod warna ungu – disenaraikan sebagai menolak SD, bercanggah dengan jumlah yang ditunjukkan oleh Raja Petra.

“Tiada seorang pun daripada Warisan yang menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan,” kata Ahli Parlimen Kota Belud dari Warisan Isnaraissah Munirah Majilis kepada Malaysiakini.



Sementara itu, senarai itu menunjukkan bahawa enam ahli parlimen GRS, serta dua ahli parlimen BN Sabah, didakwa menyokong langkah itu.

Ini termasuk ahli parlimen daripada parti BN yang tidak tersenarai dalam pengiraan Raja Petra.

Malaysiakini cuba mendapatkan maklum balas daripada mereka yang terlibat dalam senarai itu.

Ketika dihubungi, presiden PBM dan ahli parlimen tunggal parti itu Larry Sng berkata dia tidak pernah didekati untuk menandatangani sebarang SD.

“Ia hanya khabar angin,” katanya.

Bagaimana keadaan di Sabah?

Percanggahan dalam dokumen Raja Petra nampaknya mengesahkan dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam bahawa Warisan dan GRS tidak akan menyertai langkah politik yang dispekulasikan.

Tinjauan sepintas lalu di media sosial juga menunjukkan Warisan dan GRS nampaknya bertelagah, ketika momentum untuk pilihan raya negeri Sabah akan datang semakin meningkat.

Premier Sarawak Abang Johari Openg
Sementara itu, tidak ada tanda bahawa GRS – yang mempunyai seorang menteri dan seorang timbalan menteri dalam kerajaan dalam kabinet Anwar – tidak berpuas hati dengan perdana menteri.

Kerajaan negeri Sabah minggu lalu mendapat sokongan daripada dewan undangan negeri untuk memulakan proses panjang bagi mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) – satu langkah yang telah dipersetujui oleh pentadbiran Anwar.

Bagaimana dengan GPS di Sarawak?

Premier Sarawak Abang Johari Openg – yang mengetuai GPS – pada 1 Jan berkata bahawa perubahan dalam kerajaan “buang masa”.

Dia juga sebelum ini pernah berkata: “Apa yang penting ialah kestabilan politik kerajaan persekutuan. Kita bersaing dengan negara jiran kita untuk menarik pelaburan asing.

“Tetapi jika Malaysia berada dalam krisis politik, siapa yang mahu melabur di negara ini?”.

Tanpa GPS dan 23 ahli parlimennya, adalah mustahil untuk PN mencapai angka 112 sokongan ahli parlimen yang diperlukan untuk membentuk majoriti mudah. Mk

Percanggahan dakwaan 120 SD

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Restoran Pak Mat Western kena kecam (Video)

As’ad Motawh anggap sekolah hanya buang masa (Video)

Kenapa Dr. Zulkifli memilih perkhidmatan Starlink?

Perbualan Whatsapps pemain TRW tersebar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker