Bersatu tak bersatu

Semasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau ringkasnya Bersatu diasaskan pada 2016 dan didaftar secara rasmi tahun berikutnya, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bersatu untuk menumpaskan Umno-BN pimpinan Najib Razak. Bersama PKR, DAP, dan Amanah dalam Pakatan Harapan mereka berjaya pada PRU14 2018.

Langkah Sheraton dirancang dua tahun kemudian. Bersatu tidak bersatu (boleh juga dibaca Mahathir dengan Muhyiddin tidak bersatu). Jayanya Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan PH, Muhyiddin selaku watak utama dalam political coup d’etat itu menjadi perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional.

Apabila beliau terpaksa lepaskan jawatan PM pada 2021 dan digantikan oleh orang Umno, Ismail Sabri Yaakob, Bersatu dilihat masih bersatu kerana ramai pemimpinnya dikekalkan dalam Kabinet ‘baharu yang tidak berapa baharu’.



Selepas PRU15 tahun lalu, PH terajui kerajaan perpaduan yang dianggotai juga Umno-BN bersama blok Borneo. Bersatu (dengan PAS) menjadi pembangkang sehingga dewasa ini. Sekarang kita disajikan dengan langkah beberapa Ahli Parlimennya menyata sokongan kepada Anwar Ibrahim dan pentadbirannya tetapi kekal dalam Bersatu. Strategi bijak pada hemat saya kerana mereka tidak melanggar Akta Lompat Parti. Setakat ini empat orang. Presiden Umno Zahid Hamidi jangka ada lagi yang akan menyusuli.

Bukanlah memeranjatkan malah dijangka pucuk pimpinan Bersatu marah dan berang lantas mengambil tindakan disiplin terhadap empat YB Bersatu. Ertinya Bersatu sekali lagi tidak bersatu.

Muhyiddin selaku presiden mahu Akta Lompat Parti dikaji semula “kerana wujud kelemahan”. Kita faham apa ‘kelemahan’ yang beliau maksudkan namun menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, wakil PN (baca: terutama Bersatu meskipun ada PAS dalam PN) telah (tidak lama dahulu) menghalang percubaan PH untuk memperkenalkan undang-undang ketat yang akan memaksa Ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya melanggar keputusan ketua whip parti.

Berkata pula bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin, bahawa Bersatu paling lantang menolak klausa pada draf asal rang undang-undang anti lompat menyebabkan Bersatu kini berdepan kesukaran. Bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang bertanggungjawab bagi RUU itu dilapor berkata rang undang-undang asal pada 2021 menangani kelemahan yang digunakan empat Ahli Parlimen Bersatu untuk menyokong Anwar.



Wan Junaidi mendedahkan empat menteri Bersatu dalam pentadbiran Ismail Sabri membantah klausa yang menyatakan sekiranya seseorang Ahli Parlimen menukar sokongan di Dewan Rakyat kepada blok lawan maka ia tertakluk kepada undang-undang anti-lompat.

Oleh itu adalah betul empat Ahli Parlimen Bersatu yang isytihar sokong Anwar tanpa keluar parti tidak layan cabaran Bersatu supaya kosongkan kerusi dan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil “bagi menguji sokongan rakyat”. Ini kerana mereka seperti disebut tadi tidak menyalahi undang-undang lompat parti. Lagi pun Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri yang secara sengaja mengosongkan kerusi akan hilang layak bertanding semula untuk tempoh lima tahun.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mengakui wakil Bersatu ‘memandang ringan’ undang-undang anti-lompat parti. Beliau dipetik Malaysiakini berkata mereka tidak sangka akan ada ‘jalan keluar’ apabila menolak klausa yang menuntut Ahli Parlimen mengosongkan kerusi jika menentang prinsip dan ketua whip parti.

Realitinya strategi makan diri. Bersatu sudah tersalah langkah tetapi salah langkah Bersatu berhubung undang-undang anti-lompat is apparently not the only big mistake. Menurut Francis Paul Siah, editor veteran Sarawak, kesilapan besar Bersatu (khususnya Muhyiddin ) ialah dengan “angkuh” menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan kerajaan perpaduan berikutan kebuntuan politik selepas PRU15. Bersatu diundang tetapi enggan terima undangan. Menerusi rencananya dalam Malaysiakini, Siah berkata sekarang iaitu satu tahun kemudian “kita tahu ramai dalam Bersatu yang tidak bersetuju dengan keputusan presiden mereka. Itulah sebabnya kita saksikan ‘defection’ yang berlaku sekarang.”



Ertinya Bersatu tak bersatu.

Satu lagi contoh Bersatu tidak bersatu ialah dakwaan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin tidak sebulu dengan Muhyiddin dan mahu mencabar jawatan presiden. Kedua-dua menafikan dakwaan itu. Pun begitu persoalan penting ialah ke mana arah Bersatu sekarang, terutamanya Muhyiddin? Wartawan berpengalaman Leslie Lopez menulis untuk CNA Singapura menyifatkan apa yang berlaku dalam Bersatu ialah satu pemberontakan politik atau “political mutiny” yang terus merebak. Ini kata beliau memberi isyarat “serious troubles ahead” buat Muhyiddin.

Menurut Siah pula apa yang dialami Bersatu ialah ‘karma’ kerana parti itu terutama Muhyiddin terlalu asyik membuat perancangan menumbang kerajaan tetapi bukan melalui peti undi. Kata beliau “kita mesti dengan lantang dan senada memberitahu ‘It’s over Muhyiddin’.”

Berbalik kepada penulisan Lopez yang disebut tadi. Wartawan itu turut memetik Ketua Pegawai Eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies Malaysia, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, berkata “Bersatu sememangnya berpaut kepada PAS. Sekarang krisis (yang sedang dialami) menunjukkan ia (Bersatu) sebuah bahtera politik yang kosong.” A hollow political vessel.



Kata orang bersatu teguh bercerai roboh. Ada juga yang nakal berkata bersatu teguh bercerai kahwin lagi. Mungkin berseloroh tetapi mungkin juga ada mesej yang tersurat dan tersirat, terutama dalam konteks Bersatu tidak bersatu dan mungkin juga dalam konteks hubungan Bersatu-PAS. Jika mengambil kira apa yang dikatakan ketua pegawai eksekutif tadi.

Mohsin Abdulla

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaysu Muhammad Saufa Ya’ud

Gambar lucah AI, Anna Jobling beri amaran



TMJ Tuju Kepada Ahli Politik Mana?

Ameera Khan dikritik tayang produk pro Israel

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker