Hanipa Maidin bidas kerajaan dan menteri lupa diri tentang ‘demonstrasi jalanan’

Kerajaan harus mengelak daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap demonstrasi jalanan pimpinan PN semalam, kata bekas timbalan menteri undang-undang Mohamed Hanipa Maidin.

Dia berkata ini kerana ramai anggota kabinet sekarang bangkit daripada perhimpunan aman.

Hanipa, yang merupakan seorang peguam, berkata dia pernah membela ramai pemimpin PH terhadap tindakan undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).



“Sebagai bekas peguam hak asasi manusia, saya pernah membela beberapa menteri sekarang apabila kerajaan terdahulu melalui polis dan pejabat Peguam Negara pernah menangkap dan seterusnya mendakwa mereka di mahkamah sama ada pertuduhan di bawah seksyen 27 Akta Polis yang sudah dimansuh atau di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Malah Menteri (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) Nik Nazmi pernah mencabar kesahihan dari sudut perlembagaan beberapa peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman walaupun saya bukan peguamnya ketika itu.

“Saya juga, melalui (Presiden Amanah) Mohamad Sabu dan dua yang lain – sebagai bekas anak guam saya – turut mencabar Akta Perhimpunan Aman dari sudut perlembagaan ketika ia masih rang undang-undang (dan) belum menjadi undang-undang lagi.

“Kami memfailkan semakan kehakiman dan meminta mahkamah, antara lain, mengeluarkan pelepasan pengisytiharan dan writ quo warranto (oleh kuasa atau waran apa).



“Dalam pengetahuan umum saya pernah mewakili, misalnya, menteri Mat Sabu dalam banyak kes yang melibatkan kesalahan perhimpunan haram,” katanya pada satu kenyataan.

Writ quo warranto itu merujuk satu permohonan semakan kehakiman di mahkamah tinggi untuk mendapatkan pengesahan mahkamah supaya RUU itu mengikut lunas undang-undang dan tidak terkhilaf dari segi perlembagaan.

Bekas ahli parlimen Sepang itu berkata bahawa adalah “memalukan dan mengaibkan” bagi kerajaan untuk membenarkan polis terus menggunakan isu permit sebagai alasan untuk mengharamkan perhimpunan aman.

Terdahulu pada Isnin, Timbalan Ketua Polis Negara (DIGP) Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan memberi amaran “tindakan tegas” terhadap penganjur dan peserta perhimpunan, memaklumkan tiada permohonan “permit” diterima pihak berkuasa.



PAA telah dipinda pada 2019 menghapuskan syarat mendapatkan permit polis untuk perhimpunan awam, dan sebaliknya hanya pemberitahuan rasmi diperlukan berserta kebenaran daripada pemilik tempat perhimpunan.

Bagaimanapun selepas perhimpunan semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid tidak menyebut tentang “permit” tetapi berkata penganjur gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah PAA untuk memberikan notis lima hari sebelum acara serta syarat berkaitan.

“Ia bukan sekadar menghantar surat (kepada polis), dan itu dianggap memadai,” katanya.

Allaudeen menegaskan syarat di bawah PAA akan membantu polis memudahcara sebarang perhimpunan, bukan sahaja untuk penganjur tetapi pihak lain yang terjejas termasuk di sekitar kawasan itu.



“Selepas ini kita akan melihat apa tindakan susulan yang akan diambil,” kata Allaudeen ketika ditanya jika polis akan memanggil penganjur untuk siasatan.

Hampir 1,000 penyokong PN berarak dari masjid Kampung Baru dan berhimpun di pusat bandar Kuala Lumpur semalam bagi membantah pemberian pelepasan tidak berjumlah pembebasan (DNAA) kepada Zahid.

Demonstrasi itu – yang disifatkan perhimpunan menyambut Hari Malaysia – juga menuntut kebebasan peguam negara dan SPRM daripada campur tangan eksekutif serta kedaulatan undang-undang diterapkan kepada semua rakyat Malaysia.

Perhimpunan itu berlangsung lebih sejam dan berakhir kira-kira jam 3.30 petang di luar kompleks beli-belah Sogo.



Hanipa berkata kerajaan sekarang harus menjaga dan melindungi kebebasan bersuara dan berhimpun di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, polis memang mempunyai kewajipan menjamin, mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam tetapi tidak sampai menghalang perhimpunan aman.

“Jika tidak, semua jaminan perlembagaan yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (mengenai kebebasan bersuara dan bersuara) malah kewujudan Suhakam hanya menjadi sandiwara dan kepura-puraan,” katanya lagi.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kau pondan tiada anak, Che Ta ‘taji’ Diva AA

Aisar Khaled sedekah RM60 ribu seminggu

Mondy dakwa Ebit usap-usap tangannya

Fasha, Aidil keterlaluan tayang aksi ghairah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker