Memahami kalimah Nur Allah & Nur Muhammad

AJARAN SIHULK yang menyimpang daripada Ahli Sunah Waljamaah.

Memahami kalimah Nur Allah & Nur Muhammad

oleh Ahmad Azlan Raihan & Mohd Hanif Ibrahim

Perbicaraan berkaitan Muhammad SAW berlaku dua keadaan yakni satu golongan yang melampau dalam membicarakan kedudukan baginda hingga menyamakannya sebagai jelmaan Allah SWT dan diri Rasulullah adalah sebahagian daripada zat Allah yang qadim. Kalimah Nur Allah atau Nur Muhammad yang ditafsir secara zahir tanpa ditakwil dengan makna yang menepati dengan jalan akidah Ahlul Sunnah Waljamaah.



Kebanyakan kelompok pseudo sufi tanpa sedar tergelincir dengan fahaman Hulul (penjelmaan) dan Ittihad (penyatuan) serta Wahdatul Wujud yang batil (yang difahami secara batil) lantaran kesalahan fahaman dalam tafsiran secara zahir akan kalimah yang diungkapkan tentang Hakikat Muhammad.

Ada sebahagian yang melampau dalam menolak kemuliaan Nabi Muhammad SAW hingga menganggap hanya manusia biasa yang tiada apa-apa keistimewaan melainkan hanya wahyu yang diturunkan. Nabi Muhammad SAW hanya dikenali sebagai Muhammad Bin Abdullah tanpa mengenali keagungan dan martabat khusus Nabi Muhammad SAW dalam penciptaan baginda di sisi Allah berbanding daripada makhluk yang lain.

Seluruh golongan sufi berpegang bahawa tanazzul Allah Taala dalam perkenalkan diri-Nya pada makhluk tidak menjadikan diri-Nya menjadi makhluk atau baharu seperti kata sebahagian Arifin: “Adalah hamba itu hamba jua jika taraqqi (menaik) sekalipun. Dan Tuhan itu Tuhan jua jika ‘turun’ (sekalipun kepada pihak tajalli).”

Justeru, Allah SWT tidak menjadi Nabi Muhammad dan Nabi Muhammad bukannya Allah SWT, tetapi Nabi Muhammad SAW dan sekalian makhluk-Nya adalah tajalli yang menceritakan dan menjadi dalil wujud-Nya dan sifat-Nya.



Berkata Imam Bushiri RH (w.695H) di dalam Qasidah Burdahnya yang masyhur, “Hendaklah kamu tinggalkan apa telah didakwa oleh golongan Nasrani terhadap nabi mereka (iaitu dakwaan Nabi Isa anak Tuhan atau jelmaan Tuhan) dan kemudian kamu puji lah Muhammad SAW apa sahaja pujian yang kamu mahukan.”

Fahaman Hulul dan Ittihad dan Wahdatul Wujud yang batil (yang ditafsir secara batil) adalah kefahaman yang menghinakan Allah SWT kerana ia merendahkan kemuliaan dan kesucian Allah SWT kepada martabat makhluk seperti fahaman Allah SWT berada dalam makhluk, Allah SWT menjelma dalam makhluk, Allah SWT membahagi-bahagikan zat-Nya dalam makhluk, menyatu zat Allah dengan zat makhluk sebagaimana fahaman mujassimah yang menetapkan Allah itu bertempat dan berjisim.

Beberapa kesalahan memahami tajalli dalam martabat tujuh yang bersifat hulul dan ittihad yang batil.

Pertama – Mereka berpegang bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Nur Allah secara zahir tanpa takwil dan Nabi Muhammad SAW adalah sebahagian daripada Allah SWT yakni Qadim.



Kedua – Mereka berpegang bahawa Allah SWT menjelma menjadi Muhammad SAW tika martabat zat bernama Ahad, martabat sifat bernama Ahmad. Dzat yang Ghaib bernama Allah SWT muncul menzahirkan diri bernama Muhammad atau Ahmad atau juga Nur Muhammad, kemudian zahir menjadi Adam. Ia adalah fahaman Hulul, Ittihad, penjelmaan dan Wahdatul Wujud yang batil.

Istilah digunakan sama tetapi maksud adalah berbeza antara sufi yang haq dan golongan yang batil. Justeru, wajib seseorang yang ingin membaca kitab tasawuf peringkat tinggi (muntahi), hendaklah mempelajari sebaik-baiknya pegangan akidah Ahlul Sunnah Waljamaah (misalnya sifat 20) agar tidak tersalah memahami dalam bentuk tajsim (menjisimkan Allah SWT dengan sesuatu), tasybih (menyerupakan Allah SWT dengan sesuatu), Hulul (Allah menjelma dalam diri) dan ittihad (Allah menyatu dengan sesuatu).

Perkataan tajalli, pantulan, limpahan, bayangan, cerminan tidak salah digunakan dalam bentuk yang difahami selagi benar muafakat dengan Akidah Ahlul Sunnah Waljamaah. Istilah-istilah tersebut apabila dikaitkan kepada Allah SWT, ia hendaklah tiada unsur tasybih (penyerupaan) dan tajsim(penjisiman).

Makna limpahan, bayangan, pantulan bukan dengan makna secara zahir. Limpahan bukan seperti limpahan cahaya dengan matahari, bayang dengan empunya bayang dan lainnya, ia hanya misalan untuk mendekatkan faham. Hakikatnya Maha Suci Allah dari apa jua misalan lantaran ia tidak difahami oleh akal dan tiada bahasa untuk diungkapkan dengan tepat.



Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah kekasih Allah SWT, ciptaan-Nya yang paling mulia dan tinggi darjatnya dari sekalian makhluk.

Allah SWT yang bersifat qadim sementara makhluk tetap makhluk yang bersifat baharu. Antara keduanya ada faraq (pemisah) iaitu Allah adalah pencipta (khaliq) dan makhluk adalah yang dicipta.

Imam Junaid al Baghdadi Rahimahullah (w.298H) berkata: “Tauhid (di sisi golongan sufi) adalah membezakan qidam daripada baharu.”

“Muhammad SAW dan Allah SWT menyatu dalam cinta bukan menyatu pada zat-Nya.”



Berkata Shaykh Daud Al Fathani Rahimahullah (w.1263H) di dalam kitabnya Manhal As Shafi: “Maka adalah pertama-tama dijadikan Allah Nur Nabi kita Muhammad SAW daripada Nur-Nya. Yakni dijadikan Nur Muhammad itu dengan Tuhannya bukan ia setengah daripada Nur Allah. Kerana adalah setengah daripada Asma’ Allah itu Nur seperti firman Allah SWT (Surah An Nur : 35)bermaksud: “Bermula Allah SWT menerangkan tujuh petala langit dan bumi.”

Maka dinamakan Nabi kita pun Nur pula seperti firman-Nya: “Sesungguhnya telah datangkan kamu daripada Allah, Nur” – (Surah al-Maidah, ayat 15). Iaitu Nabi Nabi Muhammad SAW kerana adalah difahamkan oleh setengah daripada orang yang jahil itu, bermula Muhammad SAW itu daripada Allah SWT. Maka zahirnya salahnya, jadi Nabi Muhammad itu setengah daripada Allah SWT.

Baginda Muhammad SAW tidak qadim, rohnya dicipta dengan penuh ketinggian darjat namun ia adalah makhluk yang baharu tetapi tidak sama sebagaimana makhluk dan baharu yang lain. Nabi Muhammad SAW ibarat batu permata dan makhluk lain ibarat batu jalanan. Walaupun semua berunsur batu tetapi batu permata mempunyai nilai yang mahal, cantik dan tinggi mutunya.

Disebutkan dalam Qasidah Muhammadiah oleh Imam Bushiri Rahimahullah Ta’ālā (w.695H): “Nabi Muhammad adalah manusia tidak seperti manusia biasa (bahkan Baginda) bagaikan permata antara batu-batu.”



Jabatan ini menjemput kepada seluruh Muslimin dan Muslimat untuk menyertai program Kota Sufi Se-Nusantara yang akan diadakan di Masjid Sri Sendayan pada 25 hingga 27 Ogos 2023 bagi menyemarakkan kefahaman masyarakat terhadap kefahaman tasawuf yang sejati.

Penulis Sekretariat Program Kota Sufi Se-Nusantara 2023

Memahami kalimah Nur Allah & Nur Muhammad

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ira Kazar padam gambar dengan Syamsul tak tahan kena ‘serang’ netizen

Saya redha diceraikan Rosland

Riena Diana terima mesej lucah, merajuk padam gambar IG

Agong Hafal Lagu Ameng Spring – Netizen Teruja (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker