Syahril terima lebih 10 tawaran lanjut pengajian, biasiswa

Syahril terima lebih 10 tawaran lanjut pengajian, biasiswa

BACHOK: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular menjaga ibu sakit, Muhammad Syahril Saidi menerima lebih 10 tawaran melanjutkan pelajaran dan biasiswa.

Syahril, 18, berkata, dia perlu melakukan solat istikharah dan berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, setakat ini dia mahu meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok untuk menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah.

“Saya akan buat perancangan langkah demi langkah untuk pilih mana yang terbaik.

“Tawaran memang banyak daripada pelbagai pihak, saya ucapkan seribu penghargaan dan terima kasih kepada semua yang bagi tawaran biasiswa, dan doakan saya dan keluarga.

“Semoga kita semua berjaya dunia akhirat dan jadi pemimpin Islam yang benar- benar membawa kebenaran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, di sini hari ini. ”

Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu berkata, sepatutnya bukan dia seorang diraikan atas kejayaan dalam SPM tetapi orang sekeliling yang banyak membantunya seperti abang, kakak, ibu bapa saudara dan guru-gurunya yang tahu kesusahan hidupnya sebelum ini.

Katanya, mereka adalah insan di sebalik tabir yang mendorong kejayaan beliau terutamanya arwah ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang baru meninggal dunia, Sabtu lalu.

“Banyak yang arwah Umi pesan pada saya, tapi biarlah jadi simpanan peribadi saya,” katanya yang turut menerima tawaran biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) dan beberapa bank seperti Bank Rakyat.

Sementara itu, bapa saudara Syahril, Rosmazuki Mat Jusoh, 45, berkata, dia mengagumi kecekalan hati anak-anak saudaranya yang menjaga ibu mereka selepas kematian bapa mereka, Saidi Mat Jusoh, sejak 11 tahun lalu.

Katanya, arwah ibu bapa mereka sering mengajar anaknya supaya tidak menyusahkan orang.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada seorang cikgu bernama Shafie Sidik iaitu antara individu paling banyak membantu mereka, tak ada budi yang kami dapat balas,” katanya.

Akhlak baik Syahril dan abang serta kakak-kakaknya turut mengundang simpati orang ramai yang ada mengambil mereka sebagai anak angkat, selain sering membawa makanan, keperluan harian dan membantu semampu mereka bagi membantu keluarga susah ini selepas ibu mereka diserang penyakit angin Ahmar pada tahun 2019.

Kesusahan dan pengorbanan remaja ini terbongkar selepas dia berjaya menjadi pelajar tunggal sekolahnya mendapat 11A dalam SPM 2022 yang diumumkan Khamis lalu.

Bagaimanapun, ibunya yang sakit meninggal dunia pada Sabtu lalu dan solat jenazah diimamkan Syahril.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati, di sini. BH

Syahril terima lebih 10 tawaran lanjut pengajian, biasiswa

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Perempuan Itu ‘panas’

‘Fitnah Kepala Otak Kau!’ Lufya Warning Dedah Video ‘Sejarah Hitam’ Bekas Suami

Wan Rosdy sebak kenang nasib Najib

Lelaki dakwa lihat makhluk asing tinggi 3 meter

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker