Khunsa bukan promosi LGBT

Khunsa bukan promosi LGBT

Tampil dengan naskhah yang mengetengahkan subjek ‘taboo’ iaitu Khunsa, penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin risau terhadap keterbukaan dan penerimaan orang ramai.

Shahrulezad mendedahkan, idea menghasilkan drama Khunsa yang akan disiarkan sempena Ramadan tahun hadapan pernah ditolak oleh beberapa stesen televisyen (TV).



“Stesen TV tolak idea asal saya sudah lama, sekitar 10 tahun lalu. Masa itu saya marah kerana ramai sukakan kisah ini, tapi stesen TV pujuk untuk tarik balik.

“Selepas 10 tahun barulah saya faham kenapa stesen TV suruh tarik balik. Ini disebabkan mereka tidak yakin penonton boleh terima topik ini.

“Kalau cakap isu sosial di Malaysia, paling berani pun kisah ‘penyondol’ sahaja.

“Saya hasilkan drama Khunsa buat sebab idea ini sudah lebih 10 tahun kena tolak dengan beberapa stesen TV. Sama sahaja dengan sejarah drama Sutun yang banyak kena ‘reject’.



“Tapi, saya cuba pertahankan idea ini sebab saya rasa tiada salah dengan topik ini.

“Saya tahu perkara ini akan terima banyak pandangan seperti drama Nur.

“Ramai akan hentam, tapi saya perlu bersedia lebih awal. Kalau berlaku kekecohan, diam sahaja sebab semua orang berhak respon terhadap apa yang kita buat,” katanya kepada BH Online.

Bagi Shahrulezad yang sudah 30 tahun berpengalaman dalam industri ini, dia terbuka terima pandangan orang ramai, namun dalam masa terbit rasa gusar sekiranya dianggap mempromosikan unsur lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) dalam drama Khunsa.



“Kita bercerita dan orang suka atau tidak, kita tak boleh halang apa yang orang nak fikir. Saya ingat lagi bila saya hasilkan drama Nur, yang awal menghentam saya adalah agamawan.

“Mereka anggap saya liberal, ejen yahudi dan sebagainya sebab mereka berasakan kami buat watak menghina agamawan.

“Watak ustaz seorang itu sahaja, watak baik tak bercerita pula. Jadi, saya diam sahaja.

“Untuk Khunsa ini, saya tak tahu apa orang akan katakan pada saya. Saya terbuka dengan komen, tapi mungkin saya akan ‘log out’ sementara waktu. Saya berdoa janganlah saya ‘koyak’.



“Sebab orang ada cakap saya promosi LGBT. Mereka tak faham khunsa ini apa. Dalam Islam, Khunsa ini memang wujud.

“Bagi orang yang kurang cerdik, mungkin akan fikir saya buat khunsa sebab nak menormalisasikan LGBT. Sedangkan saya nak bercerita soal jantina dan dalam al-Quran ada sebut mengenai khunsa,” katanya.

Shahrulezad mengakui, dia banyak menjalankan kajian menghasilkan drama Khunsa. Antaranya, duduk berbincang bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), namun seronok dapat menimba ilmu baharu.

“Projek drama Khunsa sangat penat sebab saya sudah berapa kali turun naik JAKIM. Saya juga buat panggilan video dengan pensyarah dan doktor pakar bercerita pasal khunsa, mereka boleh mengandung, datang haid dan sebagainya.



“Sebab itu saya teruja dengan projek drama ini sebab orang ramai tahu khunsa ini ada dua alat kelamin, tapi bukan itu sahaja.

“Menariknya, saya belajar sesuatu dan topik ini menginsafkan saya sebab macam-macam kes yang diketahui. Khunsa ini satu spektrum yang sangat luas,” katanya.

Berkongsi mengenai idea asal drama bersiri 28 episod itu, Shahrulezad berkata, dia mendapat inspirasi menerusi luahan dan perkongsian daripada pengikut dalam laman sosial.

“Ketika stesen TV tanya apa projek seterusnya untuk bulan puasa, saya tak tahu nak buat cerita apa.



“Banyak kisah sudah diketengahkan, tapi ada seorang lelaki hantar mesej langsung DM dan bercerita mengenai ibu saudaranya khunsa.

“Bila lelaki itu bercerita, saya terus tertarik dan ceritanya sangat sedih. Bila buat kajian, jumpa JAKIM, pakar dan ramai lagi, ramai yang sahkan memang ada khunsa,” katanya.

Tambah Shahrulezad, hasratnya bukanlah mahu mengajar mahupun mendidik penonton, tapi sebaliknya mahu menyampaikan kisah yang mampu menghiburkan penonton dan pada masa sama, menyuntik mesej bermanfaat.

Drama Khunsa 28 episod siaran Astro Ria dibintangi pelakon handalan seperti Nadia Aqilah, Azhan Rani, Sherry Alhadad, Mia Farah, Farah Ahmad dan ramai lagi ini akan ditayangkan pada Ramadan pertama, tahun depan.

Sebelum ini, Shahrulezad pernah menghasilkan drama rantaian popular seperti Seputeh Qaseh Ramadan, Kerana Cintaku Saerah, Syurgamu Ramadan, Sutun, Sutun 2, Nur, Nur 2, Takdir Yang Tertulis, Cina Buta dan banyak lagi. BH

Khunsa bukan promosi LGBT

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah sudah disunting?

Pelakon biadap, rasa diva sebab ramai followers – Kismah Johari

Muhammad nama paling popular di UK bagi tahun 2023

Aplikasi Al-Inarah menjawab segala kemusykilan agama anda

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker