El-Nino, cuaca lebih kering dan panas pada Jun ini

El-Nino, cuaca lebih kering dan panas pada Jun ini

Negara ketika ini masih lagi berada dalam musim peralihan monsun sehingga Mei dengan cuaca seperti ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang, selain lewat petang atau malam sepanjang tempoh itu.

Pakar Klimatologi dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Dr Fredolin Tajudin Tangang, berkata keadaan ini berlaku terutamanya di kawasan pantai barat semenanjung dan Lembah Klang, di mana secara puratanya curahan hujan paling tinggi pada April dan Mei.



“Hujan ekstrim dari ribut petir semasa musim peralihan monsun juga boleh menyebabkan banjir kilat terutama ini di kawasan bandar seperti ibu kota.

“Bagaimanapun bermula awal April ini, kita mengalami keadaan cuaca yang kering dan panas,” katanya kepada BH.

Mengulas situasi panas ketika ini, Fredolin berkata keadaan ini disebabkan rantau benua maritim yang merangkumi Malaysia dan Indonesia didominasi keadaan tekanan tinggi atmosfera berskala besar, yang boleh dicirikan dengan keadaan perolakan terhalang dan ketiadaan banyak awan.

Katanya, kekurangan litupan awan meningkatkan pancaran matahari ke permukaan bumi, sekali gus meningkatkan suhu.



“Kekurangan curahan hujan juga mengurangkan kesan penyejukan daripada penyejatan, selain angin yang lemah dan arah yang tidak menentu semasa musim peralihan monsun turut menyebabkan angutan haba ke kawasan lain kurang dominan dan menjadikan keadaan panas berlanjutan.

“Bagaimanapun menurut ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat (AS), pusat tekanan tinggi yang mencirikan perolakan terhalang ini sedang bergerak ke timur dalam beberapa hari lagi dan ia akan digantikan dengan pusat tekanan rendah yang akan menggalakkan perolakan meningkat.

“Keadaan ini berpotensi untuk meningkatkan curahan hujan dan ribut petir pada Mei nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Fredolin berkata untuk keadaan cuaca di satu-satu lokasi, orang ramai dinasihat merujuk kepada ramalan dari semasa ke semasa yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).



Dalam pada itu, beliau berkata, keadaan cuaca apabila memasuki Jun akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.

“Lebih membimbangkan, bermula Jun tahun ini, El Nino kuat diramal berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pusat ramalan iklim APEC Climate Center di Busan, Korea meramalkan kebarangkalian El Nino akan berlaku bermula Jun adalah melebihi 90 peratus.

“Seperti fenomena El Nino yang kita alami sebelum ini, keadaan di Malaysia dan Indonesia akan menjadi lebih kering dan panas bermula Jun hingga Oktober.



“Di utara Semenanjung, Sarawak dan Sabah juga biasanya didominasi keadaan kering dan panas di penghujung fenomena El Nino iaitu pada Januari hingga April 2024,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, cuaca kering, kemarau berpanjangan dan cuaca panas biasanya disusuli kebakaran hutan di kawasan tanah gambut yang sukar dipadamkan dan menyebabkan fenomena jerebu.

“Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan juga berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan sekiranya El Nino berlaku seperti diramal pada Jun ini.

“Justeru, pihak berkuasa dan orang ramai disaran mengambil langkah untuk meminimumkan impak El Nino kali ini,” katanya. BH



El-Nino, cuaca lebih kering dan panas pada Jun ini

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kenapa kaitkan aku – Puteri Sarah



Dini Schatzmann, Janna Nick Kembali Bercinta

View Chin rugi jutaan ringgit

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker