Belajarlah daripada kegagalan dahulu

SAMA ada suka atau tidak, polemik pembentukan Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi perdebatan 32 juta rakyat Malaysia.

Bermula dengan asas pembentukannya, membabitkan parti berseteru antara satu sama lain sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), diikuti pelantikan sebilangan menteri kabinet dibayangi kontroversi termasuk Timbalan Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Keraguan terhadap prinsip politik dipegang kerajaan baharu ini terus diperkatakan apabila Anwar memutuskan untuk memegang jawatan Menteri Kewangan, satu portfolio yang pernah dijanjikan PH untuk diasingkan daripada cengkaman kuasa perdana menteri bagi mengelak berulangnya sindrom pemusatan kuasa.



Hakikatnya, kegusaran rakyat terhadap beberapa keputusan politik Anwar dan PH yang dilihat bercanggah dengan prinsip perjuangan koalisi itu memberi cabaran besar kepada Kerajaan Perpaduan untuk memenuhi harapan rakyat.

Lebih-lebih lagi apabila beberapa menteri dan timbalan menteri mengeluarkan kenyataan kontroversi, sudah pasti tindakan itu bukan sahaja mengundang kritikan pihak pembangkang, bahkan rakyat.

Sebagai contoh, apabila harga telur tidak turun dan bekalannya masih berkurangan walaupun Anwar memberi jaminan sejurus mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama, rakyat mula mempersoalkan kemampuan Kerajaan Perpaduan.

Begitu juga dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang memaklumkan kementeriannya bakal memulakan program pemberian tuala wanita percuma bagi menyokong usaha menangani kemiskinan haid dalam negara.



Cadangan itu bagus dan konstruktif, namun ramai pihak mula angkat kening apabila Ahli Parlimen Sekijang itu memaklumkan program berkenaan dimulakan dahulu di pejabat menteri dan bukan kepada golongan sasaran.

Selain itu, dakwaan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim terdapat amalan rasuah dalam badan sukan di Malaysia, dilihat sebilangan pemerhati politik sebagai satu kenyataan bermentaliti pembangkang daripada seorang pemimpin kerajaan.

Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar perlu belajar daripada kegagalan komunikasi politik kerajaan PH hingga menyebabkan mereka tumbang selepas 22 bulan mentadbir negara pasca PRU14.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Dr Mohd Muzzammil Ismail sebelum ini pernah menyatakan PH gagal menggunakan saluran media untuk menyampaikan penerangan secara berkesan, menyebabkan persepsi buruk terhadap mereka gagal dikawal sehingga saat kejatuhan koalisi itu.



“Perkara itu yang menjadi kanser mengapa jatuhnya kerajaan PH kerana naratif (cerita) prejudis dan persepsi (negatif) tidak dapat dikawal terutama dalam isu-isu sensitif seperti ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), tulisan jawi dan pelbagai lagi,” katanya sewaktu dalam satu program wacana Sinar Harian dua tahun lalu.

Pandangan Muzzammil itu dikongsi Pengerusi Generasi Keadilan Malaysia, Yusmadi Yusoff yang menegaskan semua menteri kabinet dan pemimpin dalam blok kerajaan perlu memiliki asas kepimpinan kukuh serta perlu cepat menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu mereka.

Jelas bekas Ahli Parlimen Balik Pulau dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, perkara tersebut perlu segera dilaksanakan oleh semua pemimpin dalam PH yang berpeluang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri kerana tanggungjawab menyantuni keperluan serta tuntutan rakyat adalah amat mendesak.

“Pada saat harapan rakyat terhadap kerajaan baharu ini sangat tinggi, kebarangkalian untuk pemimpin melakukan kesilapan dan kecuaian sewaktu bekerja adalah sangat tinggi.



“Justeru, saya mencadangkan semua pemimpin kerajaan perlu ada sedikit sikap rendah diri untuk belajar dan berlapang dada menjalinkan kolaborasi dengan semua pemegang taruh yang mempunyai pengalaman dalam portfolio diterajui mereka termasuk pengamal media.

“Mereka juga perlu belajar dengan cepat terutama mengambil peluang meneladani kepimpinan Anwar yang sehingga hari ini mendapat keyakinan bukan sahaja daripada rakyat tempatan, bahkan masyarakat dunia,” katanya kepada Sinar Premium.

JADI SASARAN

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pula berkata, barisan kabinet yang rata-rata diwakili muka baharu daripada PH, perlu sedia menangani serangan pembangkang dan kritikan rakyat menerusi penjelasan balas yang cepat, efektif serta kemas.



Dengan Kerajaan Perpaduan perlu memastikan aspek komunikasi dalam penyampaian sebarang polisi dan pandangan kerajaan lebih berkesan, kelompok menteri serta timbalan menteri harus memperjelaskan setiap polisi kerajaan digubal secara bijaksana dan berhati-hati.

“Pada masa ini, saya kira apa sahaja tindakan dan keputusan kerajaan baharu, pastinya akan dijadikan sasaran pembangkang dan warga maya sebagaimana kerajaan PH dahulu.

“Saya fikir pelaksanaan polisi kerajaan dan agenda rakyat mungkin dapat disampaikan secara lebih tuntas sekiranya setiap kementerian tidak bekerja secara silo.

“Sebaliknya, mereka boleh mewujudkan kerjasama rentas portfolio untuk mengelakkan sebarang pertindihan polisi baharu.



“Satu lagi, saya menyarankan mereka tidak bersikap mengadu domba sebarang kelemahan agensi kerajaan dan kementerian diterajui, sebaliknya fokus usaha membaik pulih kelemahan berkenaan secara dalaman supaya imej kerajaan dilihat lebih positif,” jelas Mujahid.

Sementara itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad pula mengajak semua pihak agar tidak terlalu menghakimi prestasi dan inisiatif Kerajaan Perpaduan lebih awal.

Jelas beliau, ini kerana kebanyakan menteri dilantik masih memerlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan portfolio baharu dipegang.

“Tidak perlu begitu judgemental. Kena beri tempoh dua atau tiga bulan lagi untuk ukur prestasi Kerajaan Perpaduan secara lebih adil.

“Paling penting, kerajaan PH wajib mencapai objektif pelaksanaan kerja-kerja terbaik untuk rakyat dalam tempoh singkat, sederhana dan panjang.

“Bagi mempertingkatkan aspek komunikasi politik, PH sedang berusaha untuk melaksanakan inisiatif pemusatan komunikasi kerajaan menerusi platform parti-parti mewakili kerajaan,” tegas Khalid.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pasangan suami isteri didenda buat ‘projek’ di tempat awam [VIDEO]

Banglo seram Bukit Gasing akhirnya dijual dengan harga RM4.4j

Penyokong paling seksi dakwa dilamar ramai pemain

Muat Turun Kalender 2023, Cuti Sekolah & Cuti Umum Malaysia [Percuma]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker