‘Total Lockdown’, nyawa mendahului ekonomi

Kita belum gagal, masih ada peluang perangi COVID-19

BANGI, 8 Syawal 1442H, Khamis –Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh atau ‘total lockdown’ penting untuk dilaksanakan, susulan kes kini melonjak lebih 6,000 jangkitan.

Pakar virologi USM, Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, pelaksanaan penuh PKP akan mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak COVID-19 kerana kurangnya interaksi secara bersemuka dan keberadaan di tempat ramai orang serta sesak.

Beliau berkata, transmisi bukan sahaja dapat dielakkan, malah rantaian jangkitan wabak itu dapat diputuskan.

Katanya, kerajaan juga masih cuba mengimbangi faktor keselamatan dan ekonomi, namun jika kes harian melonjak lebih tinggi, Malaysia berkemungkinan akan melaksanakan PKP sepenuhnya.

“Jika tidak, kita mungkin mengalami tsunami COVID-19 seperti India.

“Hakikatnya, Malaysia belum gagal dan masih berpeluang memenangi perang menentang COVID-19. Sistem kesihatan awam kita masih berfungsi dan belum rebah.

“Pematuhan SOP (Prosedur Operasi Standard) tinggi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pula faktor yang dapat menyumbang ke arah menangani krisis COVID-19 dalam negara,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Keputusan sama ada kerajaan akan melaksanakan PKP menyeluruh seperti Mac 2020 akan diputuskan esok.

Tahniah Najib, terus berjuang – Nik Abduh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia antara cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr Yahya tidak menafikan sektor ekonomi adalah penting demi kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, katanya, nyawa mendahului ekonomi, malah tiba masanya usaha mengimbangi antara ekonomi dan nyawa diteliti semula.

“Ekonomi boleh diusahakan bermacam-macam cara, bersesuaian langkah pencegahan penularan COVID-19.

“Kita lihat perniagaan melalui internet berkembang ketika PKP pertama. Pelbagai barangan keperluan dijual dalam talian.

“Pengusaha restoran mengadaptasikan perkhidmatan penghantaran makanan. Tetapi nyawa tiada ganti,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), kes COVID-19 pertama dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Jelasnya dalam tempoh 55 hari, kes dilaporkan pada 20 Mac 2020 melebihi 1,000 kes dan pada 16 September 2020, jangkitan wabak itu melebihi 10,000 kes.

“Tempoh lebih singkat selama sebulan diambil untuk menjangkau lebih 20,000 kes seperti dilaporkan 18 Oktober 2020. Seterusnya, pertambahan untuk setiap 10,000 kes hanya mengambil masa kurang dua minggu sehingga jumlah keseluruhan 70,000 kes seperti dilaporkan pada 4 Disember 2020.

“Tempoh diambil untuk pertambahan setiap 10,000 kes seterusnya lebih singkat iaitu kurang satu minggu dan jumlah keseluruhan kes setakat 14 Mei 2021 melebihi 460,000 kes. Oleh itu, kadar pertambahan kes COVID-19 melebihi 18,000 untuk setiap minggu.

“Sekiranya corak pertambahan ini kekal, jumlah keseluruhan kes akan mencapai paras satu juta hujung tahun ini, jika tiada usaha mengurangkan dan seterusnya menghentikan penularan,” tambahnya.

Hari ini, wabak COVID-19 semakin mengganas apabila negara sekali lagi mencatatkan kes baharu tertinggi dalam sejarah iaitu 6,806 kes dengan 2,277 daripadanya dilaporkan di Selangor.

Ini menjadikan Selangor merekodkan kes harian tertinggi dalam tempoh 24 jam lepas diikuti Kuala Lumpur dengan 655 kes, Johor (615) dan Sarawak (608).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya berkata, keseluruhan kes COVID-19 dalam negara kini berjumlah 492,302.


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET

 


PKP: Antara nyawa dan harta

 

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker