Saksi terkejut tertuduh tanggal baju kurung
Pengacara pada persembahan komediri di Crackhouse Comedy Club berkata dia memberitahu tertuduh dan pasangannya tidak menyentuh isu ‘sensitif’.
Saksi terkejut tertuduh tanggal baju kurung
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen dia “terkejut” apabila seorang penghibur menanggalkan baju kurung dan tudungnya di atas pentas selepas mendakwa menghafaz 15 juzuk al-Quran.
Ashraf Kamal Musthaffa berkata, dia terpaksa menenangkan keadaan supaya persembahan dapat diteruskan.
Pereka grafik yang merupakan pengacara bertugas di Crackhouse Comedy Club Pada 4 Jun 2022 berkata, dua lagi individu dijadualkan membuat persembahan selepas Siti Nuramira Abdullah.
Nuramira sedang dibicarakan kerana didakwa menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahannya di Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail.
Ashraf berkata, kakitangan kelab itu memaklumkan kepadanya bahawa Nuramira, yang merujuk dirinya sebagai “Amy” dan pasangannya “Alex”, berhasrat melakukan persembahan pada hari itu.
Katanya, dia memberi taklimat ringkas kepada mereka mengenai apa yang boleh dan tidak boleh katakan atas pentas kerana kedua-duanya “pendatang baharu” di kelab itu.
“Saya kata, jangan cuba sentuh isu sensitif dan minta mereka ‘enjoy’ di atas pentas,” kata Ashraf ketika memberi keterangan.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob sama ada terdapat peraturan yang memerlukan pengacara memberi taklimat kepada pendatang baharu mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh mereka katakan atas pentas, Ashraf berkata penghibur komediri (stand up comedy) biasanya mempunyai pemahaman mengenai perkara itu.
“Tiada peraturan bertulis. Dalam ‘stand-up’, penghibur tidak boleh menyentuh tiga ‘R’ (bangsa, agama dan raja).
“Ia sesuatu yang harus kita fahami sendiri,” katanya.
Ashraf turut memberitahu Hakim Nor Hasniah Ab Razak, dia menyedari reaksi bercampur-campur dalam kalangan hadirin.
Ketika rakaman persembahan itu dimainkan di mahkamah, Ashraf mengenal pasti Nuramira sebagai orang yang melakukan persembahan dalam video tersebut.
Katanya, penonton diberitahu supaya tidak membuat rakaman atau mengambil gambar persembahan secara langsung.
Menurutnya, dia tidak tahu siapa yang merakam persembahan Nuramira hari itu.
“(Persembahan) ini bukan apa yang diwakili oleh ‘stand up comedy’.
““Persembahan ‘stand up comedy’ biasanya melibatkan lawak jenaka, namun yang ini tiada lawak langsung,” katanya.
Ketika diperiksa balas oleh peguam bela R Sivaraj, Ashraf mengakui dia tidak mempunyai latihan formal sebagai pengacara untuk rancangan sedemikian.
Beliau juga mengesahkan kelab itu adalah tempat persendirian dan mereka yang berhasrat menonton persembahan secara langsung dikehendaki membeli tiket.
Sivaraj: Adakah anda setuju bahawa kaum dan agama digunakan dalam erti kata komedi (pada masa lalu)?
Asyraf: Ya.
Terdahulu, Sivaraj membantah kehadiran bekas pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal van Geyzel.
Malik memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan pihak pendakwaan, dan memaklumkan Nor Hasniah, beliau sudah memberitahu Rizal supaya tidak hadir apabila prosiding disambung sebelah pagi selepas rehat.
Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkait kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan melibatkan agama, antara individu atau kumpulan yang menganut agama sama atau berlainan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara lima tahun.
Perbicaraan bersambung esok. FMT
Saksi terkejut tertuduh tanggal baju kurung
Baca Artikel Menarik:
- Senarai penuh MKT bagi Pemilihan UMNO Sesi 2023/2026
- 54 ketua bahagian UMNO muka baharu
- Pengurus syarikat Fazura didakwa berdepan hukuman penjara, sebat, denda
- Mahathir jangan bermain api, nanti terbakar negara sendiri
- Noh Salleh ditegur mencarut setiap masa atas pentas
- Little Miss Khan – Pakai Baju rona kulit melekap di badan
- Populariti Mierul Aiman memdadak
- Isteri rasa bahagia selepas suami jalin hubungan sulit
- Mimi Lana dah bersedia
- Beberapa kerat orang – Tan Sri, tauke besar rancang gugat kerajaan – Anwar
- Kenyataan media Syed Mokhtar
- Keputusan pemilihan isyarat Umno sedia berubah – penganalisis
- Hadi diingatkan jangan lupa hadir sidang Parlimen
Layari Laman Facebook MYKMU.NET